Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Pemandu rentung kereta meletup rempuh tiang


SEORANG pembaca Utusan sempat merakamkan gambar satu kemalangan ngeri melibatkan kenderaan pacuan empat roda yang terbakar selepas terlanggar tiang konkrit jejantas di Lebuh Raya Lingkaran Tengah II berhampiran Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, petang semalam. Pembaca yang tidak mahu dikenali itu merakamkan gambar pemandu kenderaan berkenaan (lihat bulatan) yang sedang merangkak keluar dalam keadaan api membakar tubuhnya. Pemandu itu mati di tempat kejadian.

KUALA LUMPUR 10 Mei - Seorang pemandu terbunuh selepas kenderaan pacuan empat rodanya terlanggar tiang konkrit jejantas dan terbakar di Lebuh Raya Lingkaran Tengah II berhampiran Taman Melati, Setapak di sini, petang ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang menyebabkan kenderaan mangsa, sebuah `pick-up' pacuan empat roda meletup dan terputus.

Seorang pembaca Utusan yang sempat merakamkan gambar insiden itu berkata, sebelum kemalangan itu, kenderaan tersebut bergerak terlalu laju dan tiba-tiba terlanggar sebatang tiang konkrit di kanan lebuh raya.

Katanya, perlanggaran itu mengakibatkan kenderaan mangsa terputus dua sebelum terlanggar sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan.

``Separuh daripada kenderaan itu tercampak lalu terlanggar sebuah kereta jenis Honda,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Pembaca Utusan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, pemandu pacuan empat roda itu sempat merangkak keluar dari kenderaan yang terbakar dengan badannya diselubungi api sebelum rebah.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tidak berani menghampiri kenderaan yang terbakar itu untuk menyelamatkan pemandunya kerana berlaku beberapa letupan kuat.

``Api yang marak dan beberapa letupan menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran tempat kejadian tidak berupaya menolong,'' katanya.

Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan menghala ke Taman Melawati.

Kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan sehingga lewat petang ini.

Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Rosdi M. Husin ketika dihubungi berkata, polis masih belum mengenal pasti identiti mangsa yang terbunuh kerana segala dokumennya hangus.

Lebuh Raya Lingkaran Tengah II yang menganjur dari Ampang ke Gombak dikenal pasti sebagai laluan yang kerap berlaku kemalangan maut.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Asisten Supritendan Zulkifli Samsudin sebelum ini berkata, purata kemalangan yang berlaku untuk tahun ini sehingga 21 Mac lalu ialah sebanyak satu kes sehari.

``Jumlah ini agak tinggi berbanding 168 kes yang dicatatkan untuk sepanjang tahun lalu.

``Purata sehari kurang dari satu kes iaitu 0.4,'' katanya.

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum