Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

3 ahli Al-Ma'unah bela diri tanpa angkat sumpah

KUALA LUMPUR 10 Mei - Tiga daripada 19 anggota kumpulan Al-Ma'unah yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di Pertuan Agong hari ini mengubah pendirian untuk memberi keterangan membela diri tanpa mengangkat sumpah.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan sehingga 16 Mei ini untuk memberikan masa kepada ketiga-tiga anggota Al-Ma'unah itu berbincang lanjut dengan peguam bela mereka sebelum memberi keterangan membela diri.

Ketiga-tiga anggota itu ialah Abdul Ghani Ali @ Ahmad, 31, pensyarah Malaysia French Institute; Idris Anas, 43, juruteknik Telekom dan Suhaimi Hasbullah, 42, peniaga kain.

Pada awalnya, mereka memilih untuk memberi keterangan membela diri secara mengangkat sumpah kecuali ketua kumpulan itu Mohd. Amin Mohd. Razali yang mahu mendiamkan diri.

Ketiga-tiga tertuduh tersebut memaklumkan mengenai pendirian masing-masing kepada mahkamah melalui peguam bela mereka, Suriani Suhaimi yang mengatakan bahawa anak-anak guamnya ingin menarik balik pilihan yang telah dibuat untuk memberi keterangan membela diri.

Katanya, mereka bertiga sekarang memilih untuk memberi keterangan daripada kandang tertuduh.

Dengan itu, tambah Suriani, pihaknya memohon supaya mahkamah membenarkan penangguhan untuk beliau berbincang dengan anak-anak guamnya.

Mereka bertiga juga dibela oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin.

Suriani memaklumkan perkara itu selepas seorang daripada anggota Al-Ma'unah, Kamarudin Mustafar, 41, selesai memberi keterangan membela diri secara mengangkat sumpah pada perbicaraan yang masuk hari ke-75 hari ini.

Kesemua anggota Al-Ma'unah itu didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan ia membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan boleh dikenakan denda jika tidak dihukum mati.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abidin yang mewakili pendakwaan tidak membantah berhubung perkara itu.

Di peringkat ini, Hakim Zulkefli menjelaskan kepada ketiga-tiga tertuduh itu mengenai kesan keterangan mereka jika memilih untuk memberi keterangan di kandang tertuduh yang kurang nilainya daripada keterangan di kandang saksi.

Hakim Zulkefli meminta tertuduh-tertuduh itu supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengubah pendirian masing-masing.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum