Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Malaysia semakin baik banteras cetak rompak

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Robert B. Zoellick memuji Malaysia kerana menunjukkan kemajuan dalam memerangi cetak rompak cakera optik.

Duta Zoellick dalam laporan 2001 Special 301 yang dikeluarkan di Washington, Amerika Syarikat (AS) Khamis lepas, mengambil perhatian akan pelbagai langkah awal positif yang telah diambil oleh Malaysia bagi melaksanakan undang-undang media optiknya dan menggesa Rusia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Taiwan untuk turut berbuat demikian.

Laporan tahunan itu, yang dikeluarkan pada Isnin, menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang telah mengambil langkah penting dalam melaksanakan atau komited untuk mengguna pakai, kawalan yang amat diperlukan terhadap pengeluaran media optik.

``Satu pembangunan positif tertentu sejak beberapa tahun ialah penguatkuasaan Akta Cakera Optik, yang apabila dilaksanakan sepenuhnya akan menjadi alat yang berkesan untuk memerangi cetak rompak hak cipta,'' menurut laporan itu.

Malaysia merupakan antara 16 rakan kongsi perdagangan Amerika Syarikat di bawah ``Special 301 Priority Watch List'' mengenai hak harta intelek.

Sebanyak 15 rakan kongsi lagi ialah Argentina, CostaRica, Republik Dominican, Kesatuan Eropah, Mesir,Hungary, India, Indonesia, Israel, Korea, Lebanon , Filipina, Rusia, Taiwan dan Uruguay.

Laporan itu menyatakan sementara Malaysia telah melancarkan beribu-ribu serbuan dan pemeriksaan di kilang-kilang sejak dua tahun lepas, hampir tiada pendakwaan jenayah bagi cetak rompak yang telah diselesaikan.

Pejabat USTR di sini merancang untuk mengendalikan satu semakan semula pada musim gugur untuk menilai usaha penguatkuasaan Malaysia terutama pelaksanaan sepenuhnya Akta Cakera Optik menjelang 15 Sept, 2001.

Sementara itu, USTR, dalam laporan ``Super 301'', menyatakan ``kebimbangan serius'' mengenai syarat kandungan tempatan yang dikenakan oleh Malaysia mengenai pengeluaran kenderaan bermotor.

Mengikut Perjanjian Langkah-langkah Pelaburan Berkaitan Perdagangan, Malaysia disyaratkan untuk mengeluarkan semua langkah-langkah itu menjelang Januari 2000 kecuali jika diberikan tempoh tambahan oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Pada 29 Disember 1999, Malaysia mengemukakan permohonan rasmi bagi tambahan dua tahun untuk memastikan langkah-langkah itu dipatuhi bersama-sama dengan kewajipannya mengikut perjanjian itu.

Menurut laporan itu, kerajaan Amerika Syarikat telah mengambil perhatian mengenai kesediaannya untuk bersetuju bagi melanjutkan tempoh itu, `` tetapi bimbang dengan kenyataan bercanggah yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia berhubung dengan hasratnya itu.''

Atas alasan itu, Amerika Syarikat akan terus mengawasi pematuhan Malaysia dengan dua kewajipan WTOnya dalam sektor kenderaan bermotor.

Amerika Syarikat pada masa ini mempunyai dua lagi kes WTO yang belum diselesaikan berhubung isu itu, mencabar penyenggaraan oleh India dan langkah-langkah yang menjejaskan perdagangan dan pelaburan dalam sektor kenderaan bermotor Filipina. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum