Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Wang palsu: Dua termasuk anak orang kenamaan ditahan

PETALING JAYA 11 Mei - Polis menahan dua orang termasuk seorang wanita yang merupakan anak orang kenamaan kerana terlibat dalam satu sindiket antarabangsa mencetak dan mengedar wang palsu, di Subang Jaya, semalam.

Seorang lagi yang ditahan bersama wanita berusia 55 tahun tersebut di kafe Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada pukul 1.30 tengah hari itu, adalah lelaki berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sheikh Mustaffa Sheikh Ahmad berkata, polis merampas daripada mereka sampul-sampul surat berisi dua kepingan yang setiap satu mengandungi tiga RM10 yang masih bercantum, tiga keping RM100, dua keping RM50 dan lapan keping AS$100.

``Hasil siasatan polis mendapati hanya dua kepingan yang melibatkan wang kertas RM10 (RM60 semuanya) adalah wang tulen manakala yang lain adalah palsu,'' katanya di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua mereka berasal dari Jalan Klang Lama di sini dan ditahan reman tujuh hari sejak semalam untuk siasatan lanjut.

Sheikh Mustaffa berkata, sindiket membuat dan mengedar wang palsu antarabangsa itu dipercayai telah bergiat aktif sejak tahun 1995.

Katanya, polis telah melancarkan gerakan mencari lima lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas.

``Polis yakin masih terdapat saki- baki ahli kumpulan ini dan gerakan mencari mereka telah dilancarkan,'' katanya.

Dalam pada itu Sheikh Mustaffa menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menjalankan urus niaga bagi mengelakkan menerima wang palsu.

Beliau meminta orang ramai atau pihak bank yang ragu-ragu tentang ketulenan wang yang diterima supaya segera melaporkan kepada polis.

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum