Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Wartakan pokok ketum sejenis dadah berbahaya

DUNGUN 13 Mei - Polis Terengganu mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mewartakan pokok ketum yang banyak terdapat di negeri ini sebagai sejenis dadah berbahaya kerana kesannya yang sama dengan dadah lain.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Yusoff berkata, dengan mentakrifnya sebagai dadah, penanaman dan penggunaan bahan yang boleh mengkhayalkan dan memberikan kesan sebagaimana dadah lain dapat dicegah.

Katanya, pokok ketum atau nama saintifiknya mitragyna speciosa telah diharamkan penanaman dan penggunaannya oleh kerajaan Thailand sejak tahun 1943.

Katanya, Terengganu terdedah kepada penyalahgunaan daun itu kerana tumbuhan tersebut mudah ditemui di merata tempat.

``Penggunaan daunnya dalam bentuk minuman atau serbuk boleh menyebabkan penggunanya menjadi ketagih dan memudaratkan dalam masa yang panjang seperti penggunaan dadah lain,'' katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program pemusnahan pokok ketum di Ketengah Jaya di sini hari ini beliau berkata, amalan penggunaan daun ketum di kalangan penagih di Terengganu terutama di pedalaman semakin meluas.

Malah, katanya, penggunaan bahan yang dikaitkan dengan perubatan tradisional itu menimbulkan kebimbangan masyarakat yang akhirnya telah mulai mendesak agar sesuatu tindakan diambil.

Atas kesedaran itulah juga, katanya, pihak polis bersama pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat setempat mengadakan gotong-royong memusnahkan tanaman itu.

Katanya, ia bagi membangkitkan kesedaran meluas masyarakat di seluruh negeri terhadap bahaya penyalahgunaannya dan tidak menganggap ia sebagai suatu yang remeh.

``Pada peringkat awal penjualan air dan serbuk daun ketum terutama di sekitar Hulu Terengganu terutama di warung-warung kampung tidak mendatangkan keresahan masyarakat.

``Namun perkembangan yang tidak menyenangkan mula kelihatan dan mereka berharap kerajaan atau pihak berkuasa memberi reaksi atau bertindak terhadap penggunaan daun ini,'' ujar Mohd. Yusoff.

Sehubungan itu, katanya, satu kertas cadangan telah dihantar kepada kerajaan pada tahun lalu agar kajian mengenai kesan negatif daripada penggunaannya dilakukan sama ada ia wajar dicegah atau tidak.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan air atau serbuk daun itu semakin diminati oleh penagih termasuklah harga atau kos yang rendah.

Di samping itu katanya ia juga mudah didapati, mudah digunakan dan bahan ini tidak termasuk dalam akta larangan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum