Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Wabak taun merebak ke daerah Kuala Langat

KLANG 14 Mei - Wabak taun di Selangor yang sebelum ini dikesan di tiga daerah iaitu Klang, Petaling dan Kuala Selangor, kini disyaki merebak pula ke daerah Kuala Langat.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Selangor hari ini, sebanyak lima orang telah disyaki menghidap taun di daerah Kuala Langat.

Kenyataan itu menambah, jumlah mereka yang disahkan positif taun setakat ini ialah 79 orang, tidak termasuk satu kematian yang dilaporkan pada 10 Mei lalu.

Jumlah mereka yang disyaki menghidap penyakit itu juga turut meningkat kepada 124 orang berbanding hanya 96 orang kelmarin.

Setakat ini seorang telah dikesan sebagai pembawa wabak itu.

Jabatan Kesihatan negeri belum dapat mencari punca sebenar wabak itu walaupun penyakit tersebut telah dikesan sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun ia pada awalnya disyaki bermula dari nasi lemak yang dijual di sebuah gerai di Meru dekat sini.

Ekoran itu sebanyak 195 premis menjual makanan telah diperiksa dan 132 daripadanya diperintahkan tutup sementara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jabatan Kesihatan negeri juga telah mengambil 10 contoh air untuk dianalisis, namun keputusannya belum diperoleh.

Oleh: AMIR SARIFUDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum