Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Kawalan di lapangan terbang ditingkat

SEPANG 14 Mei - Langkah-langkah keselamatan di semua lapangan terbang negara ini akan dipertingkatkan bagi mencegah sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan dan mencemarkan imej negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Aseh Che Mat berkata, penekanan akan diberi ke atas semua aspek termasuk pengeluaran pas di lapangan terbang terutamanya kepada pekerja warga asing, masalah kecurian barangan kargo, perkhidmatan pengangkutan awam dan pemprosesan visa ketibaan.

``Mengenai masalah kecurian kargo, satu pasukan khas yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ramli Mohd. Yusuff dibentuk untuk menangani masalah berkenaan,'' ujar beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pintu masuk udara dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Polis, Jabatan Imigresen dan Malaysia Airports Berhad.

``Bagi pekerja asing yang bekerja di lapangan terbang pula, kita akan memastikan butiran peribadi mereka direkodkan dan cap jari mereka ini akan diambil,'' ujar Aseh lagi.

Beliau juga mahu sistem pengangkutan awam di lapangan terbang, terutamanya di KLIA diperkemaskan seperti menangani masalah teksi haram.

Katanya, banyak aduan diterima terutamanya dari aspek penguatkuasaan dan bahagian pelesenan kenderaan awam serta Jabatan Pengangkutan Jalan akan diminta menangani masalah tersebut.

Aseh juga mahu Jabatan Imigresen supaya mengkaji lokasi kaunter pengeluaran visa di KLIA yang menurutnya agak jauh dari pintu masuk balai ketibaan.

``Kita lihat ramai yang mundar-mandir di kawasan itu dan kita bimbang jika ini berterusan, mungkin ada penumpang asing yang cuba mengambil kesempatan untuk menghilangkan diri,'' ujar beliau.

Secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan lapangan terbang di negara ini.

``Cuma ada satu dua masalah yang perlu diberi perhatian supaya matlamat untuk menjadikan lapangan terbang negara ini sebagai yang terbaik di rantau ini tercapai,'' katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri seterusnya berkata, setiap pegawai Imigresen diwajibkan mengucapkan perkataan ``Selamat Datang'' setiap kali ketika berurusan dengan para pengunjung.

``Ini bersesuaian sekali dengan matlamat untuk menjadikan lapangan terbang di negara kita ini sebagai mesra pelancong,'' ujarnya.

Sebelum ini Jabatan Imigresen telah memperkenalkan lencana mesra yang wajib dipakai oleh para pegawainya.

Oleh: SYAHRIL A. KADIR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum