Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Cubaan seludup sarang burung RM1.19j tumpas

KUCHING 14 Mei - Satu cubaan menyeludup sarang burung bernilai RM1.19 juta ditumpaskan oleh Bahagian Pencegahan Kastam Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Datuk Zaleha Hamzah berkata, sarang burung itu yang telah siap diproses, ditemui disimpan dalam 15 bungkusan seberat 340 kilogram, kira-kira pukul 9.30 malam. ``Rampasan itu adalah yang keempat terbesar di Malaysia setakat ini,'' katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam di sini hari ini.

April lalu, kastam merampas sarang burung seberat 200 kilogram bernilai RM700,000 juga di LTAK. Dua lagi rampasan bernilai RM510,020 dilakukan di Pusat Poslaju Malaysia di sini.

Zaleha berkata, jabatan itu sudah mengenal pasti pemilik sarang burung berkenaan tetapi sehingga ini pihaknya belum dapat mengesan penyeludup kerana dia berlepas menggunakan pesawat lain.

``Pemilik sarang burung itu membuat ikrar tentang komoditi yang dibawanya bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan didapati jumlah berat yang diikrarkan itu adalah jauh lebih rendah dengan berat sebenarnya,'' katanya.

Menurut beliau, pemilik sarang burung itu boleh didakwa mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat ikrar palsu.

Dia juga, tambah beliau, boleh didakwa di bawah Seksyen 135(1)(a) akta yang sama kerana mengeksport sarang burung tanpa permit terhadap kuantiti sarang burung yang tidak diikrarkan.

Mereka yang didapati bersalah di bawah seksyen itu boleh didenda sehingga sepuluh kali ganda nilai sarang burung atau RM10,000 atau penjara sehingga enam tahun.

Zaleha menjelaskan, di bawah Jadual Kedua, Peraturan Kastam (Larangan Eksport) 1988, sarang burung adalah salah satu barangan larangan untuk dieksport.

``Seseorang yang hendak mengeksport sarang burung perlu memohon lesen eksport yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar serta memohon permit dari Jabatan Perhutanan dengan membayar yuran RM50 untuk setiap kilogram sarang burung,'' katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kastam akan mempergiatkan usaha membanteras penyeludupan dan berharap orang ramai dapat memberi sepenuh kerja sama.

Oleh: MUHD. ZAKARIA HATTA

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum