Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Kes batal permohonan Juraimi didengar 12 Jun

KUALA LUMPUR 14 Mei - Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang dan dua defendan lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pihaknya ingin membuat permohonan untuk membatalkan tindakan saman yang dikemukakan oleh pembantu bomoh Mona Fandey, Juraimi Husin.

Peguam Kanan Persekutuan, Wong Poh Fah yang mewakili ketiga-tiga defendan bagaimanapun memohon penangguhan untuk membolehkan pihaknya memfailkan permohonan itu.

Hakim Datuk Faiza Tamby Chik yang sepatutnya mendengar kes itu hari ini, membenarkan penangguhan sehingga 12 Jun ini.

Pada 4 Mei lalu, Juraimi, 31, selaku plaintif telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadapnya.

Permohonan itu dibuat bagi mencabar keputusan Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang yang menolak petisyen rayuannya memohon belas kasihan daripada hukuman mati di tali gantung.

Dalam saman itu, plaintif yang diwakili peguam Karpal Singh menamakan Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang sebagai defendan pertama, pendakwa raya (defendan kedua) dan kerajaan Malaysia (defendan ketiga).

Ketiga-tiga defendan berkenaan telah pun memfailkan memorandum kehadiran berhubung tindakan saman itu pada 11 Mei lalu.

Pada 4 April lalu, Jumaah Pengampunan telah menolak rayuan pengampunan Mona dan suaminya Mohd. Affandi Abdul Rahman bersama Juraimi kerana membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 1993.

Bagaimanapun, Jumaah Pengampunan Negeri Pahang melalui sepucuk surat bertarikh 2 Mei yang dihantar kepada Karpal Singh telah memaklumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Juraimi ditangguhkan sehingga proses permohonannya diselesaikan terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi.

Dalam saman itu, Juraimi memohon pengisytiharan bahawa penolakan ke atas petisyen rayuan pengampunan bertarikh 30 Jun 1999 oleh defendan pertama adalah tidak mengikut perlembagaan, batal dan tidak sah.

Selain itu, dia juga memohon pengisytiharan masa yang diambil terlalu lama sehingga dua tahun patut dipertimbangkan dengan sewajarnya bagi memberinya hak untuk menggunakan peruntukan Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan dan membatalkan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Juraimi juga memohon pengisytiharan dengan merujuk kepada kelewatan yang berpanjangan melebihi lima tahun semenjak tarikh sabitan dengan keputusan petisyen rayuan pengampunan, mempunyai percanggahan ke atas peruntukan di bawah Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 April 1999, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya. Manakala rayuannya di Mahkamah Rayuan juga telah ditolak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum