Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Pegawai penguat kuasa beraksi seperti Spiderman

ALOR SETAR 16 Mei - Seorang pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan operasi membasmi cakera padat video (VCD) cetak rompak terpaksa bertindak nekad seperti Spiderman dengan melompat dan berpaut di tepi bonet sebuah kereta yang disyaki membawa beratus-ratus VCD haram.

Kejadian tersebut berlaku di pasar malam berhampiran Star Parade pada kira-kira pukul 8.30 malam semalam apabila kereta Kancil yang dipandu oleh seorang wanita Melayu berusia dalam lingkungan 20 tahun enggan memberhentikan keretanya walaupun diarahkan berbuat demikian.

Pemandu tersebut sebaliknya terus meluru ke arah Mohd. Helmi Hassan yang mengetuai 10 lagi pegawai Unit Kawalan Penerbitan Kementerian Dalam Negeri.

Disebabkan tidak mempunyai pilihan lain, Helmi terpaksa bertindak pantas dengan melompat dan berpaut di tepi bonet kereta berkenaan.

Pemandu yang masih berdegil itu kemudian membawa pegawai terbabit dalam keadaan `berpaut' begitu sejauh empat kilometer ke arah bulatan Teluk Wanjah, terus ke Jalan Stadium sebelum memasuki Jalan Tun Razak.

Keadaan menjadi terkawal apabila seorang anggota polis yang kebetulan bertugas di situ campur tangan dan berjaya mengarahkan kereta itu berhenti.

Pemandu itu kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang tugas pegawai kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Hussain Bapoo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Terdahulu menurut sumber yang sama, kira-kira pukul 3 petang satu kejadian yang hampir serupa turut berlaku di kawasan letak kereta Pasar Raya Sentosa di sini.

Bagaimanapun, pemandu van yang disyaki membawa VCD cetak rompak itu berjaya melarikan diri.

Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum