Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Geng rogol pasangan kekasih tumpas

AMPANG 16 Mei - Polis menumpaskan sebuah kumpulan yang menyamar sebagai anggota polis dan aktif melakukan samun dan rogol pasangan kekasih pada waktu malam di sekitar Ampang.

Kumpulan tersebut terdiri daripada tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 21 hingga 43 tahun.

Turut dirampas daripada kumpulan ini ialah tiga buah kereta dan sebuah motosikal curi, beberapa senjata berbahaya, telefon bimbit, pistol tiruan, jaket dengan logo polis, walkie talkie dan siren.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Langat (Ampang), Supritendan Azmi Hashim berkata, kumpulan ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan melakukan sekurang-kurangnya lapan kes samun.

Antara lokasi sasaran kumpulan ini ialah di kawasan pemandangan waktu malam khususnya di Hulu Langat, Bukit Permai dan Bukit Antarabangsa serta taman rekreasi di Kajang, Titiwangsa dan Sepang.

``Siasatan polis mendapati kumpulan ini menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun mangsa.

``Dalam sesetengah kes kumpulan ini turut melarikan kereta mangsa dan merogol teman wanita pasangan berkenaan,'' katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Langat (Ampang) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, kumpulan ini dipercayai turut menjadikan sekolah-sekolah dan kafe siber yang beroperasi pada waktu malam sebagai sasaran samun.

Ini kerana selain barangan curi lain polis turut menjumpai beberapa komputer peribadi milik sekolah dan kafe siber dalam serbuan ke atas dua rumah milik persendirian di Cheras dan Hulu Langat.

Sementara itu, Azmi menasihatkan para remaja supaya tidak berada di tempat sunyi pada waktu malam untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 53 kes pecah rumah setelah menumpaskan kumpulan yang didalangi oleh warganegara Myanmar di sekitar Ampang.

Kumpulan yang terdiri daripada tiga lelaki termasuk seorang wanita itu dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu.

Siasatan polis mendapati kesemua ahli kumpulan ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta beberapa ahlinya pernah terlibat di dalam beberapa kes pecah rumah sebelum ini.

Azmi memberitahu, polis merampas daripada kumpulan ini barangan kemas dan peralatan rumah seperti pemain cakera padat dan televisyen.

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum