Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Perintah bawa 2 aktivis ke mahkamah ditolak

KUALA LUMPUR 16 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan dua aktivis reformasi dibawa ke mahkamah itu untuk mendengar permohonan habeas corpus membebaskan mereka daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Steve Shim Lip Kiong memutuskan demikian ketika membenarkan rayuan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai untuk mengetepikan perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Beliau mencapai keputusan itu sebulat suara bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Haidar Mohd. Noor.

Ketika menyampaikan keputusan secara lisan pagi ini, Hakim Steve berkata, mahkamah itu berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah tersilap dalam membuat pentafsiran Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan apabila beliau mengatakan bahawa kehadiran orang tahanan untuk prosiding habeas corpus sebagai hak yang termaktub mengikut perlembagaan.

Ketika membuat keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu mengatakan alasannya dengan merujuk Artikel 5(2) Perlembagaan Persekutuan bahawa hak untuk memohon satu writ bagi habeas corpus bukan semata-mata hak di bawah undang-undang tetapi mengikut perlembagaan bagi mana-mana orang yang mempercayai dirinya telah ditahan secara tidak sah.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam meneruskan esok untuk mendengar permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh Abdul Ghani Haroon, 36, dan N. Gobalakrishnan, 41, yang kini ditahan di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail mewakili Ketua Polis Negara sebagai responden mengemukakan rayuan untuk mengetepikan perintah yang dikeluarkan oleh Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus pada 4 Mei lalu.

Hakim Hishamudin mengeluarkan perintah tersebut ketika membenarkan permohonan peguam bela dua tahanan berkenaan yang meminta supaya mereka dibawa ke mahkamah dalam prosiding habeas corpus itu.

Kedua-dua tahanan itu merupakan anggota Parti Keadilan Nasional (Keadilan) memfailkan writ habeas corpus masing-masing melalui sokongan afidavit yang diikrarkan oleh keluarga mereka.

Abdul Ghani telah ditahan pada pukul 1.25 pagi, 11 April di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching manakala Gobalakrishnan ditahan di Balai Polis Kuah, Langkawi, 10 April lalu.

Mereka berdua diwakili lima peguam bela yang diketuai oleh R. Sivarasa.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum