Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Saksi menangis kecewa ditipu Amin

KUALA LUMPUR 16 Mei - Seorang anggota Al-Ma'unah menangis teresak-teresak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sambil mengatakan dia kecewa kerana terlalu bodoh tidak sedar dirinya dipergunakan oleh ketua kumpulan itu, Mohd. Amin Mohd. Razali untuk memenuhi impian gilanya semasa kejadian di Bukit Jenalek.

Abdul Ghani Ali @ Ahmad berkata, dia merasa lebih terkilan apabila diberitahu bahawa mayat adiknya, Halim Ali juga anggota Al-Ma'unah dijumpai tertembak dan ditinggalkan di tengah-tengah hutan.

``Rupa-rupanya saya telah ditipu, adik saya bukannya dibawa ke hospital oleh tentera seperti Amin katakan tetapi dibiarkan mati sahaja di situ.

``Saya hanya dapat menangis sahaja, itu sahaja yang saya mampu lakukan. Bukan sahaja adik saya sudah meninggal, nasib saya ini tiada tahu kesudahannya,'' kata Abdul Ghani ketika memberi keterangan membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Abdul Ghani, 35, yang mendapat pendidikan tinggi di bidang kejuruteraan mekanikal dan bekerja sebagai pensyarah di Malaysian French Institute (MFI), di Bandar Baru Bangi Selangor sejak 1997, memberi keterangannya tanpa mengangkat sumpah dari kandang tertuduh.

Dia membaca kenyataan pembelaannya setebal 23 muka surat dengan suara terharu dan penuh penyesalan atas apa yang berlaku di Bukit Jenalek, Sauk, Perak pada awal Julai tahun lalu.

Keterangan pembelaan itu dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin pada perbicaraan yang masuk hari ke-76 hari ini.

Abdul Ghani yang dibela oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin adalah antara 19 tertuduh termasuk Mohd. Amin yang didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan boleh membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan boleh dikenakan denda jika tidak dihukum mati.

Tertuduh itu seterusnya berkata, dia berasa terperangkap dan bermacam-macam konflik berlaku apabila cuba memikirkan logik perkara-perkara yang telah berlaku.

``Memang mudah untuk menuding ke arah kami sebagai orang-orang yang berkomplot untuk bertempur dengan tentera tetapi mungkin hanya Tuhan yang tahu betapa putus asanya apabila dihimpit sebegini,'' ujarnya.

Abdul Ghani mendakwa Amin telah berjaya membuntukan fikirannya agar tidak dapat menentangnya dan juga tidak melarikan diri daripadanya.

Semasa kejadian di Bukit Jenalek itu, kata Abdul Ghani, dia berasa seperti seekor tikus makmal yang telah dipusing-pusing banyak kali atas roda dan apabila dihentikan pusingan roda, masih tidak jumpa pintu keluar yang besar terbuka.

``Begitulah buntunya keadaan fikiran saya (ketika itu), hanya Tuhan yang mengetahui,'' kata dengan suara teresak-esak.

Sambil mengenangkan nasibnya yang jadi begitu, adiknya pula terkorban dan isteri serta dua orang anaknya yang masih kecil ditinggalkan, Abdul Ghani berkata bahawa dia bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak pernah ada sedikit pun niat untuk melawan kerajaan.

``Saya amat kesal kerana membiarkan diri saya dipermainkan oleh Amin membuatkan saya terjerat tak tentu pasal dengan kes ini,'' katanya.

Abdul Ghani terdahulunya memberitahu bahawa dia tertarik menyertai Al-Ma'unah apabila membaca iklan di dalam akhbar Harakah sekitar bulan Mei tahun 1999 yang menyatakan ahli-ahli akan dapat mempelajari tenaga dalam.

Lagipun, kata tertuduh, iklan persatuan Al-Ma'unah itu menghendaki sesiapa yang ingin menyertai persatuan itu mengamalkan lima tiang agama tanpa gagal.

``Pada fikiran saya, ini juga satu jalan yang baik untuk saya lebih mendekati Allah,'' tambahnya.

Apabila menyertai Al-Ma'unah dan mula aktif, kata tertuduh, dia banyak mengikuti kursus-kursus yang dijalankan oleh Amin.

Menurutnya, setiap ahli diberitahu bahawa pencapaian ijazah seni bela diri itu adalah banyak tahap dan dari semasa ke semasa mereka akan menjalani kursus untuk diuji bagi mencapai tahap-tahap tersebut.

Di samping itu, katanya, dia juga ada mengikuti kursus praktikal perubatan di klinik yang telah dibuka oleh Amin di pejabat Al-Ma'unah di Klang, Selangor.

Abdul Ghani mengatakan Amin juga mendapatkan parang kembar untuk anggota-anggota dan mereka perlu bersedekah untuk mendapatkan parang itu tidak kira jumlahnya setiap seorang.

Kata tertuduh, Amin telah memberitahu anggota-anggotanya bahawa parang tersebut diperolehnya semasa bersuluk (bertapa) di Gunung Jerai, kepunyaan wali-wali di zaman dahulu.

Abdul Ghani berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kesalnya apabila mendengar di mahkamah bahawa parang kembar itu dibeli oleh Amin di Central Market (Pasar Budaya) di sini.

Tertuduh itu berkata lagi, dia dapat tahu tempat kursus di Bukit Jenalek pada 27 Jun tahun lalu iaitu hari Selasa melalui panggilan telefon daripada Amin sendiri.

Menurutnya, dia bersetuju untuk ikut serta kerana dalam minggu itu pelajar-pelajar MFI cuti semester dan tambahan pula Amin beritahu kursus akan berakhir pada 2 Julai.

Selepas itu, semasa berada di Bukit Jenalek, Amin telah mengumpulkan anggota Al-Ma'unah kepada tiga kumpulan dan kemudian menaiki tiga buah Pajero pergi ke dua buah kem tentera.

Abdul Ghani berkata, apabila sampai di satu kem yang lebih besar dia menyangka mungkin itulah sebenarnya tempat latihan tentera dan mereka dibenarkan masuk dengan mudah ke kawasan itu (kem 304 Gerik).

Kemudiannya, kata tertuduh, dia nampak beberapa anggota tentera dan ahli Al-Ma'unah mengangkat kotak-kotak untuk dimasukkan ke dalam kenderaan yang dinaiki oleh Amin.

Tambahnya, dia juga terkejut apabila melihat kenderaan yang hendaki dinaikinya penuh dengan kotak dan senjata sehingga tidak banyak tempat untuk duduk dan susah untuk menutup pintu.

Apabila sampai di Bukit Jenalek, kata tertuduh, Amin mengarahkan semua senjata dan kotak dikeluarkan dari semua kenderaan tentera dan dibentangkan satu plastik di atas tanah untuk meletakkan semua senjata dan kotak itu.

Selepas itu, Abdul Ghani mendakwa semasa dia sedang mengambil wuduk, tiba-tiba kedengaran satu letupan kuat dari belakang dan rupa-rupanya Amin melepaskan tembakan menggunakan raifal M-16.

``Batu-batu besar di hadapan kami pecah bersepai kerana tembakan itu. Masa itu saya lihat Amin ketawa dengan begitu kuat sekali. Saya tunduk takut, darah saya berderau ketika itu. Saya betul-betul pelik mengapa Amin berkelakuan begitu, '' kata tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum