Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

1,205 pemandu lori, bas ditahan - Didapati terlibat dengan penggunaan pelbagai jenis dadah

KUALA LUMPUR 17 Mei - Polis menahan 1,205 atau 16 peratus daripada 7,000 pemandu bas dan lori yang diperiksa dalam operasi bersepadu selama enam hari di seluruh negara kerana didapati positif terlibat dengan penggunaan dadah.

Ketua Trafik Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Ahmad Bahrin Idrus berkata, operasi tersebut diadakan di lebuh raya dan jalan raya biasa setelah polis mengenal pasti kadar kemalangan maut yang melibatkan kenderaan-kenderaan komersial semakin meningkat.

``Mereka yang ditahan adalah di antara lebih 7,000 pemandu kenderaan komersial yang diperiksa dalam operasi selama tiga hari April lalu dan tiga hari pada bulan ini yang berakhir semalam.

``Hasil pemeriksaan itu pemandu kenderaan komersial tersebut, polis menahan sejumlah 1,205 pemandu atau 16 peratus daripada mereka kerana didapati positif menggunakan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, heroin dan pil khayal,'' katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat polis di Bukit Aman pagi ini, beliau berkata, kesemua mereka berusia antara 25 hingga 35 tahun dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Ahmad Bahrin berkata, jika dibuat perbandingan, setiap 10,000 lori yang berdaftar, sejumlah 527.2 terlibat dengan kemalangan manakala setiap 10,000 bas berdaftar, sejumlah 1,985.1 terbabit dengan kemalangan.

``Ini menunjukkan bahawa risiko kematian akibat daripada kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial seperti lori dan bas adalah sangat tinggi,'' jelasnya.

Katanya, polis akan meningkatkan operasi khususnya terhadap kenderaan komersial, selain menggesa para pengusaha kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Ahmad Bahrin memberitahu daripada jumlah 6,305 mangsa yang terkorban dalam kemalangan maut tahun lalu, sebanyak 1,563 atau 26 peratus daripadanya melibatkan kenderaan komersial.

Menurutnya, daripada 250,000 jumlah kemalangan tahun lalu, sebanyak 44,736 atau 18 peratus daripadanya turut membabitkan kenderaan jenis tersebut.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, seramai 614 orang pengguna motosikal atau 10 peratus maut akibat terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan komersial.

Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kemalangan melibatkan kenderaan komersial dipercayai ada kaitan dengan pengaruh dadah termasuk pada 11 Mac lalu di Kilometer 85, Jalan Gambang-Segamat, Kuantan.

Kemalangan itu menyebabkan tujuh maut manakala dua lagi cedera apabila sebuah treler bertembung dengan sebuah van.

Ujian polis mendapati pemandu treler berusia 29 tahun itu didapati positif dadah morfin manakala kelindannya positif ganja.

Menurut Ahmad Bahrin, selain kes berkaitan pemandu terlibat dengan dadah, sebahagian kes kemalangan yang membabitkan kenderaan komersial berlaku disebabkan kecuaian sesetengah pengusaha seperti kaedah penyusunan dan pengisian muatan.

Beliau memberitahu contoh terbaru kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial yang berlaku di Tapah, tiga hari lalu.

Dalam kemalangan itu, seorang penumpang kereta terbunuh apabila seketul batu sebesar penumbuk terjatuh dari sebuah lori yang mengenai cermin kereta dan kepalanya.

Ahmad Bahrin berkata, semua 1,205 pemandu yang ditahan itu jika ada bukti yang cukup boleh didakwa di bawah Seksyen 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

``Bagi kesalahan kali kedua, mereka boleh didenda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan hilang kelayakan memandu bagi tempoh tidak kurang satu tahun,'' tambahnya.

Ahmad Bahrin berkata, di samping tindakan itu, Jabatan Narkotik juga akan mengambil tindakan di bawah undang-undang Akta Dadah Berbahaya.

``Pendedahan ini diharap membuka mata pengusaha kenderaan komersial dalam memastikan pemandu kenderaan mereka bukan penagih,'' ujarnya.

Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum