Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Berita Harian 11 April 2001

Rakyat Indonesia mengaku curi RM2.7 juta milik RHB


KUALA LUMPUR, Selasa Seorang lelaki rakyat Indonesia mengaku salah di Mahkamah Majistret Rawang dekat sini, atas tuduhan mencuri satu karung wang tunai RM2.7juta milik RHB Bank cawangan Sungai Buloh, tahun lalu.

Herman Yazid, 36, bersama-sama dua lagi tertuduh dikatakan membelanjakan sebahagian besar wang tunai yang dicuri itu untuk membeli rumah mewah, kereta, tanah serta membuka akaun simpanan tetap.

Herman yang bekerja sebagai ejen penghantaran pulang warga Indonesia, mengubah pendiriannya dengan mengaku mencuri wang tunai itu daripada sebuah van keselamatan milik Securiservices Sdn Bhd.

Ketika kejadian, van itu diletakkan di kawasan tempat letak kereta di hadapan Pasaraya Bintang Hyper, Bangunan Summit Square, Taman Selayang Jaya, Selayang, kira-kira jam 11 pagi, 20 Januari 2000.

Majistret Azura Alwi, menetapkan esok bagi menjatuhkan hukuman terhadap Herman yang juga mempunyai taraf penduduk tetap.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, Amri Zainal, 45, dan Roili Talib, 35, tidak mengaku salah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 8 Jun ini bagi sebutan kes terhadap kedua-dua tertuduh itu.

Amri yang juga seorang rakyat Indonesia dan mempunyai taraf penduduk tetap adalah seorang peniaga kaki lima di Chow Kit manakala Roili adalah eksekutif pemasaran.

Seorang lagi tertuduh yang dikatakan melakukan kesalahan itu masih belum ditangkap.

Herman diwakili peguam Sumita Snanarajah manakala Amri diwakili peguam Radzuan Ibrahim dan Roili oleh peguam Nik Hashim Nik Daud. Pendakwaan kes dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Ramle Bakar.

Ketiga-tiga tertuduh kemudian ditahan pada 12 Mac tahun lalu oleh pasukan polis yang diketuai Penolong Penguasa Fadzil Ahmat.

Bagaimanapun, polis hanya menjumpai wang tunai RM200,000 daripada mereka.

Pada 28 Mac 2000, ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah atas tuduhan berkenaan dan mahkamah menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi