Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Polis bongkar sindiket wang syiling RM1 palsu

PULAU PINANG 17 Mei - Polis negeri membongkar sindiket pengeluaran wang syiling RM1 palsu berikutan tertangkapnya tiga lelaki termasuk seorang rakyat Thailand dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Nibong, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II, John Raj berkata, polis turut merampas 361 keping syiling kosong yang dipercayai akan dibawa ke sebuah premis lain untuk dicap dengan tanda ringgit Malaysia.

Beliau berkata, polis turut merampas tiga buah mesin yang dipercayai digunakan untuk membuat syiling palsu serta merampas 20 batang tembaga yang dipercayai dapat menghasilkan beribu-ribu keping syiling palsu.

Katanya, dua lelaki yang masing-masing berusia 36 dan 51 tahun dan rakyat Thailand yang berusia 36 tahun itu pula dipercayai anggota sindiket yang aktif dalam pengeluaran wang syiling palsu.

``Berat dan saiz syiling tersebut sama seperti wang syiling RM1 asli,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan difahamkan ketiga-tiga lelaki itu diberkas hasil intipan dan siasatan yang dijalankan oleh Polis Bukit Aman di negeri ini ekoran tangkapan beberapa orang yang terlibat dalam pengeluaran wang palsu di Petaling Jaya baru-baru ini.

``Tiga lelaki itu dipercayai anggota sindiket yang aktif di negara ini dalam pembuatan syiling RM1 palsu,'' tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini membenarkan polis menahan reman selama dua minggu ke atas rakyat Thailand bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, mahkamah yang sama juga membenarkan polis menahan reman selama seminggu ke atas kedua-dua lelaki tempatan itu untuk membantu siasatan.

Difahamkan, polis masih meneruskan beberapa intipan dan siasatan untuk mengesan mereka yang lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan wang palsu.

Oleh: NORZAHIZAN ISMAIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum