Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Pelawak terkenal ditahan positif ujian dadah

KUALA LUMPUR 17 Mei - Seorang pelawak terkenal tanah air ditahan kerana dipercayai positif dalam ujian dadah hasil satu operasi berhampiran Plaza Tol Bukit Raja, dekat Klang semalam.

Menurut sumber polis, artis lelaki yang berusia 20-an itu ditahan bersama seorang rakannya ketika menaiki sebuah kereta menghala ke pusat bandar pada kira-kira pukul 2 petang.

``Kenderaan yang dinaiki artis berkenaan ditahan kerana dipercayai dipandu dalam keadaan mencurigakan,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu dijalankan di kawasan tersebut dengan kerjasama Trafik Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber memberitahu, setelah ditahan, artis itu dan rakannya dibawa ke Balai Polis Pandamaran, Klang untuk menjalani ujian air kencing.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan itu, artis berkenaan disahkan positif terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang, Supritendan Rosni Hashim ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya telah menahan lelaki terbabit.

``Dia dibebaskan semalam dengan ikat jamin polis,'' katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai penahanan tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum