Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Tindakan Amin tahan 2 anggota polis salah

KUALA LUMPUR 17 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ketua kumpulan Al-Ma'unah, Mohd. Amin Mohd. Razali telah bertindak menyalahi undang-undang apabila dia menahan dua anggota polis di Bukit Jenalek.

``Saya rasa terkejut dan takut bahawa Mohd. Amin telah membuat kerja yang menyalahi undang-undang,'' kata Idris Anas yang memberi keterangan membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

``Apakah kerja yang dikatakan menyalahi undang-undang itu?'' Tanya peguam belanya, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Idris mengatakan bahawa maksudnya, Mohd. Amin menahan dua anggota polis yang berlawanan dengan apa yang dijanjikan sebelum kejadian di Bukit Jenalek itu.

Menurutnya, dia nampak Mohd. Amin mengacukan senjata dan mengarahkan dua anggota polis tersebut menggali lubang.

Pada masa itu, kata Idris, dia merasa amat marah terhadap Mohd. Amin kerana memerangkapnya dengan janji-janji manis kerana sebelum itu dikatakan ada kursus Al-Ma'unah peringkat tinggi dan latihan bersama tentera.

``Kenapa tidak lari?'' Tanya peguam bela.

Jawabnya, dia tidak cuba melarikan diri pada masa itu kerana keadaan di sekeliling telah dikepung oleh pasukan keselamatan.

Idris, 43, juruteknik Telekom, memberi keterangan membela diri secara mengangkat sumpah di kandang saksi.

Dia merupakan antara 19 anggota Al-Ma'unah yang menghadapi dakwaan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, ia membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan boleh dikenakan denda jika tidak dihukum mati.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin masuk hari ke-77 hari ini.

Seterusnya dalam keterangan hari ini, Idris mengatakan bahawa Mohd. Amin pernah memberitahunya mengenai latihan dengan pihak tentera semasa berbincang di pejabat Al-Ma'unah, Klang Mac tahun lalu.

Ketika menjawab satu soalan lain, tertuduh itu memberitahu bahawa dia menyedari memakai pakaian celoreng tentera dengan tanda nama `Anuar' di bajunya ketika berhenti makan di sebuah kedai makan dalam perjalanan ke dua buah kem tentera pada 2 Julai tahun lalu.

``Anuar itu bukan nama kamu, dari manakah datangnya `Anuar'?'' tanya peguam bela.

Tertuduh menjawab bahawa pada masa itu, dia menyangka pakaian seragam tentera yang dipakainya telah dipinjamkan oleh Mejar Jamaludin Darus (anggota Al-Ma'unah yang juga tertuduh ketiga dalam kes tersebut) untuk dipakai dalam latihan bersama tentera.

Dalam pemeriksaan utama pihak pembela, Idris juga diminta menjelaskan mengenai parang kembar yang telah diberitahu oleh Mohd. Amin kepadanya.

Isu parang ini, kata Idris, timbul pada awal tahun lalu.

Dia menjelaskan bahawa parang kembar itu hanya parang yang tumpul dan diukir dengan ayat-ayat al-Quran secara simbolik.

``Sekarang saya tahu bahawa parang kembar ini dibeli oleh Mohd. Amin dari Pasar Budaya di Kuala Lumpur, kata tertuduh itu.

Idris akan menyambung keterangan membela diri pada 5 Jun ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum