Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Kewujudan bekalan dadah di pusat serenti akan disiasat

KAJANG 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kerajaan akan menyiasat hingga ke akar umbi kewujudan bekalan dadah di dalam kawasan pusat serenti di seluruh negara.

Merujuk kepada kes rusuhan di Pusat Serenti Kundang Patah, Semantan, Raub malam semalam beliau berkata, tindakan keras akan diambil kepada pihak yang bertanggungjawab membawa masuk dadah ke pusat serenti.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri hairan bagaimana barangan larangan seperti ganja, rokok dan tembakau berjaya diseludup ke dalam pusat serenti yang dianggap mempunyai kawalan yang ketat.

``Saya paling tidak senang hati kalau ada dadah dalam pusat serenti. Bagaimana boleh masuk dan siapa yang bawa,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pertandingan Golf Amal Bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini.

Turut menyertai pertandingan itu ialah bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabaruddin Chik.

Beliau mengulas kejadian rusuhan yang membabitkan lebih 400 penghuni Pusat Serenti Kundang Patah, Semantan, Raub kira-kira pukul 11.30 malam semalam.

Para penghuni terbabit mengganas dengan membakar tiga pos pengawal, sebuah lori dan masing-masing sebuah bangunan pentadbiran setinggi tiga tingkat, bangunan unit kaunseling, bilik lawatan, pejabat stor dan beratus-ratus dokumen penting musnah.

Ekoran kejadian itu, sebanyak 39 daripada 459 penghuni ditahan untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati para penghuni berkenaan terhadap dua pengawal yang menutup laluan rahsia untuk menyeludup masuk ganja, rokok dan tembakau di belakang pusat itu.

Mengulas lanjut mengenai kejadian rusuhan itu, Abdullah menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap lebih 400 penghuni yang merusuh itu.

``Kita akan melihat apakah fakta-fakta yang menyebabkan mereka merusuh jika fakta-fakta itu boleh membantu mengatasi rusuhan itu,''katanya.

Mengulas pendedahan Pergerakan Pemuda UMNO mengenai terdapat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak melayan permohonan penduduk miskin, katanya, kes seumpama itu bukan menggambar keseluruhan sikap pegawai jabatan itu.

Menurut beliau, kejadian sedemikian dianggap sebagai kes terpencil yang melibatkan segelintir pegawai JKM.

``Kita tidak boleh ambil satu kes dan terus membuat andaian keseluruhan pegawai di JKM bersikap demikian,'' katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, jika dakwaan pergerakan itu benar, pegawai tersebut perlu diambil tindakan kerana tidak bertanggungjawab menjalankan tugasnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum