Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Cetak rompak kini dipercayai sindiket jenayah terancang

KUALA LUMPUR 19 Mei - Masalah cetak rompak di negara ini yang bermula sebagai sebuah industri `belakang rumah', kini dipercayai telah berubah menjadi sebuah sindiket jenayah terancang yang didalangi dan dilindungi oleh kumpulan berpengaruh dari dalam dan luar negara.

Andaian tersebut dibuat berasaskan kepada modus operandi mereka yang cukup meluas, tersusun dan tidak hanya terhad kepada pasaran tempatan sahaja.

Menurut Pengurus Besar Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Lam Tuck Seng, sindiket itu juga dipercayai mempunyai sumber kewangan yang besar dan kukuh berasaskan kepada modal yang tinggi diperlukan untuk memulakan perniagaan cetak rompak.

Lam berkata, insiden pergaduhan termasuk pembunuhan di antara pengusaha cetak rompak bukan sahaja disebabkan berebut sesebuah kawasan perniagaan, malah mereka juga berebut hak mengeluarkan bahan cetak rompak berdasarkan sesebuah tajuk.

``Sebagai contoh, jika kumpulan A mencetak filem berjudul AB, maka kumpulan B tidak dibenarkan mencetak judul filem yang sama. Sekiranya ini berlaku, maka pergaduhan akan tercetus,'' katanya.

Sindiket ini juga melambakkan VCD lucah di pasaran serta merompak nafkah artis-artis industri muzik tempatan sesuka hati melalui cetak rompak CD mereka.

Sindiket ini, menurut Pengarah Urusan EMI (M) Sdn. Bhd. Darren Choy, turut melibatkan pengusaha-pengusaha dari China yang mengimport masuk industri itu ke negara ini setelah kerajaan negara China menerima tekanan daripada Amerika Syarikat supaya menghapuskan industri cetak rompak di sana.

Kata Lam, sindiket itu juga licik mengelak segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sebagai contoh katanya, apabila kerajaan membekukan pengimportan mesin membuat cakera optik (CO), mereka membawa masuk peralatan tersebut secara berasingan (dismantle units) dan mengisytiharkan ia sebagai produk komputer. Harga sebuah mesin membuat cakera optik (CO) bernilai hampir RM4 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai hubungan rangkaian jenayah terancang antarabangsa ini, tidak menolak kemungkinan itu kerana industri cetak rompak di negara ini mempunyai kaitan rapat dengan industri cetak rompak di Hong Kong. ``Kemungkinan elemen itu berlaku tidak dapat dielakkan kerana industri cetak rompak di negara ini berasal dari negara Hong Kong.

``Apabila negara itu menguatkuasakan undang-undang yang tegas, sindiket antarabangsa itu berpindah ke Malaysia. Dan kini apabila kita (Malaysia) mula melaksanakan undang-undang tegas, sudah ada pengilang yang menutup kilang dan mengeksport peralatan ke negara yang tidak memiliki undang-undang yang tegas,'' katanya.

Mengulas lanjut Lam berkata, keberanian mereka bertindak di luar batas kemanusiaan adalah satu lagi bukti jelas pengusaha cetak rompak bukan lagi industri kecil-kecilan yang diusahakan di belakang rumah seperti mana yang berlaku pada awal tahun 1980-an.

``Sebenarnya, mereka bukan sahaja bertindak terhadap pihak berkuasa tetapi bertindak agresif terhadap pesaing yang mengganggu perniagaan mereka,'' katanya kepada Utusan baru-baru ini.

Menurut Lam, perkembangan teknologi menyebabkan usaha menghasilkan barangan cetak rompak menjadi lebih mudah.

``Dahulu mereka memerlukan sebuah kilang besar, mesin besar, sensitif terhadap habuk dan sebagainya. Tetapi kini saiz mesin telah menjadi kecil, mudah dipasang, tidak sensitif kepada habuk dan tidak memerlukan ruang yang besar,'' ujar Lam.

Katanya, mereka juga mempunyai rantaian pengedaran yang cekap menjangkaui sehingga ke luar negara.

``Penahanan dua rakyat Mauritius yang cuba menyeludup keluar kira-kira 40,000 VCD cetak rompak ke negara mereka menunjukkan CD cetak rompak bukan untuk pasaran tempatan sahaja,'' katanya.

Menurut Lam, secara keseluruhan pihak RIM berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan.

Bagaimanapun katanya, strategi penguatkuasaan perlu sentiasa diubah dan dipertingkatkan selaras dengan strategi yang dilakukan oleh penggiat cetak rompak.

Melihat kepada perkembangan hari ini, Lam berpendapat sudah sampai masanya untuk polis memainkan peranan yang lebih besar kerana masalah cetak rompak di negara ini telah mencapai tahap yang membimbangkan.

``Pihak polis mungkin lebih arif untuk berhadapan dengan kumpulan penjenayah,'' katanya.

Oleh: HAMDEN RAMLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum