Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

3 wilayah tumpuan penjualan VCD cetak rompak - Roslan


PEMBELI memilih judul-judul filem terkini termasuk album lagu tempatan dan luaran dalam bentuk VCD cetak rompak di kawasan SS2, Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang merupakan tiga wilayah menjadi tumpuan penjualan video cakera padat (VCD) cetak rompak, kata Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd. Roslan Mahayuddin.

Menurut beliau, kini hampir 80 peratus kegiatan penjualan VCD dan CD cetak rompak yang beroperasi sekarang, dikesan di tiga kawasan terbabit.

Mengenai senario cetak rompak yang begitu membimbangkan terutama di tiga buah kawasan itu, beliau berkata, pihaknya mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memainkan peranan lebih tugas membanteras gejala itu.

Menurut beliau, jualan produk cetak rompak terutama VCD yang dibuat secara terbuka pada masa ini memerlukan tindakan lebih tegas oleh PBT.

``Kalau mereka (PBT) boleh mengambil tindakan terhadap penjual barangan tertentu atau mereka yang membuka gerai di kawasan yang dilarang, penjualan VCD cetak rompak tidak seharusnya turut terlepas daripada tindakan ini,'' tegasnya.

Ditanya sama ada undang-undang sedia ada mencukupi bagi membanteras kegiatan cetak rompak di negara ini, Mohd. Roslan berkata, undang-undang mencukupi tetapi orang ramai perlu bersedia bekerjasama menangani masalah itu.

``Pengguna sepatutnya tidak mencipta satu keadaan di mana permintaan semakin meningkat menyebabkan pengeluar produk cetak rompak mengambil kesempatan mengeluarkan lebih banyak bahan terbabit,'' katanya.

Mengenai fenomena pegawai-pegawai penguat kuasa menerima ancaman daripada sindiket cetak rompak, beliau menegaskan, ia bukan perkara baru sebaliknya telah dialami sejak dulu.

Beliau memberitahu, pihaknya pernah mengesan kenderaan kakitangannya diekori oleh kenderaan lain dipercayai kumpulan samseng semasa menjalankan tugas, yang dipercayai bertujuan mengancam kakitangan terbabit.

Menurut beliau lagi, selain kakitangan dan pegawai, keluarga termasuk isteri dan anak-anak mereka turut menerima ancaman dicederakan.

Bagaimanapun katanya, perbuatan membakar kenderaan pegawai di Muar dan mengepung dan mengancam pegawai yang berlaku di Pulau Pinang antara yang paling serius dilaporkan setakat ini.

Menurut beliau, kejadian-kejadian seumpama itu tidak akan menjejaskan moral anggota dalam menjalankan tugas kerana tindakan penguatkuasaan perlu diteruskan.

``Semua ancaman yang kita terima setakat ini telah dilaporkan kepada polis,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum