Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Industri muzik negara dijangka berkubur 2004

KUALA LUMPUR 19 Mei - Industri muzik negara dijangka berkubur pada tahun 2004 sekiranya masalah cetak rompak di negara ini kekal pada tahap yang dialami oleh negara pada ketika ini.

Pengarah Urusan EMI (Malaysia) Sdn. Bhd., Darren Choy berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana telah wujud banyak petanda menunjukkan industri muzik sedang menuju ke arah kehancuran akibat cetak rompak.

Menurut beliau, petanda utama dapat dilihat daripada pendapatan keseluruhan industri muzik tanah air telah menjunam daripada RM80 juta pada tahun 1996 kepada RM20 juta pada tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman (RIM), hampir 60 peratus atau RM300 juta daripada keseluruhan nilai industri muzik negara yang dianggarkan berjumlah RM500 juta pada tahun lalu dikuasai oleh lanun cetak rompak.

``Kemerosotan jualan album berlaku mendadak terhadap semua artis termasuk artis popular seperti Raihan dan Siti Nurhaliza.

``Satu ketika, album mereka berjaya mencatat jualan 500,000, berbanding hanya 100,000 unit pada ketika ini,'' katanya ketika ditemu bual Utusan baru-baru ini.

Menurutnya, kemerosotan itu membawa kesan langsung kepada pendapatan syarikat rakaman.

Katanya, syarikat rakaman kini berhadapan dengan masalah untuk membuat pelaburan mencungkil bakat baru.

Menurut Darren, ketika industri muzik negara berada pada kemuncak pada 1995 dan 1996, apabila kadar cetak rompak negara hanya sekitar 20 peratus, setiap syarikat mampu untuk mengeluarkan 10 artis baru.

Daripada 10 artis itu jelas Darren, kebiasaannya hanya dua artis akan menjadi popular dan dengan ini akan menambah bilangan artis negara sedia ada.

Bagaimanapun sejak cetak rompak menguasai industri ini pada 1997, kebanyakan syarikat rakaman besar hanya mampu memperkenalkan dua atau tiga artis baru.

``Itupun belum tentu akan menjadi artis utama. Ini bermakna kita tiada artis pelapis kepada artis sedia ada.

``Atas sebab ini kami berpendapat, jika keadaan ini berterusan, dalam tempoh tiga tahun, kami (industri muzik) mungkin tidak ada lagi,'' katanya.

Menurut Darren, pihak yang terjejas teruk akibat cetak rompak ini adalah syarikat rakaman tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada artis tempatan.

Bagi syarikat rakaman antarabangsa katanya, mereka masih boleh hidup dengan bergantung kepada penjualan album artis antarabangsa.

Katanya, akibat cetak rompak banyak syarikat tempatan terpaksa gulung tikar atau dijual kepada syarikat rakaman antarabangsa.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi statistik keahlian RIM yang dianggotai syarikat berkaitan industri muzik menunjukkan penurunan daripada 75 syarikat pada 1996 kepada 54 tahun lalu.

Menurut Darren, kesan cetak rompak sebenarnya bukan ditanggung oleh artis sahaja.

``Ia banyak ditanggung oleh pihak-pihak lain daripada peringkat pengurusan, produksi, pemasaran dan persembahan yang bergantung kepada kehadiran seorang artis.

``Tiada artis, tiada aktiviti untuk menjana pendapatan golongan ini,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum