Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Permohonan Juraimi tangguh hukuman mati dibatalkan

KUALA LUMPUR 22 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan permohonan pembantu bomoh Mona Fandey, Juraimi Husin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadapnya.

Hakim Datuk Faiza Tamby Chik memutuskan demikian selepas mendengar hujah Datuk Abdul Gani Patail sebagai Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang dan dua defendan lain dalam permohonannya untuk membatalkan tindakan saman itu.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Juraimi memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu petang ini bersama sijil perakuan segera bagi membolehkan rayuan itu didengar secepat mungkin.

Karpal juga menyatakan akan menulis surat kepada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang bagi memohon pelanjutan masa untuk penangguhan hukuman mati sehingga rayuan kes itu didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 4 Mei lalu, Juraimi selaku plaintif telah memfailkan permohonan itu bagi mencabar keputusan Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang yang menolak petisyen rayuannya memohon belas kasihan daripada hukuman mati di tali gantung.

Dalam saman itu, Juraimi, 31, menamakan Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang sebagai defendan pertama, Pendakwa Raya (defendan kedua) dan kerajaan Malaysia (defendan ketiga).

Pada 4 April lalu, Jumaah Pengampunan Negeri Pahang menolak rayuan pengampunan Mona dan suaminya Mohd. Affandi Abdul Rahman bersama Juraimi kerana membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 1993.

Bagaimanapun, Jumaah Pengampunan Negeri Pahang melalui sepucuk surat bertarikh 2 Mei yang dihantar kepada Karpal telah memaklumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Juraimi ditangguhkan sehingga proses permohonannya diselesaikan terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusan itu, Hakim Faiza berkata, plaintif yang dijatuhkan hukuman mati telah dibicarakan secara sah dan bebas dari segi undang-undang.

Beliau menjelaskan, Sultan Pahang yang melaksanakan kuasa pengampunan belas kasihan telah bertindak dengan penuh teliti tanpa sebarang keraguan dan pengaruh.

Sementara itu, Abdul Gani dalam hujahnya menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Juraimi adalah tidak boleh diadili dan berada di luar bidang kuasa mahkamah.

Katanya, hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah keputusan muktamad yang tidak boleh diubah.

Abdul Gani menegaskan, plaintif telah dibicarakan mengikut haknya di sisi undang-undang dan keputusan yang dibuat tidak boleh dibatalkan.

Karpal dalam penghujahan balasnya memberitahu defendan tidak memberi sebarang alasan berhubung kelewatan yang berpanjangan melebihi lima tahun semenjak tarikh sabitan dengan keputusan petisyen rayuan pengampunan.

Menurut Karpal, Juraimi juga mengalami seksaan mental dan tekanan sewaktu dalam pengurungan barisan menunggu hukuman mati akibat daripada tempoh masa yang terlalu lama.

Juraimi dalam tindakan samannya, memohon pengisytiharan bahawa penolakan ke atas petisyen rayuan pengampunan bertarikh 30 Jun 1999 oleh defendan pertama adalah tidak mengikut perlembagaan, batal dan tidak sah.

Selain itu, dia juga memohon pengisytiharan masa yang diambil terlalu lama sehingga dua tahun patut dipertimbangkan dengan sewajarnya bagi memberinya hak untuk menggunakan peruntukan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan dan membatalkan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Juraimi juga memohon pengisytiharan dengan merujuk kepada kelewatan yang berpanjangan melebihi lima tahun semenjak tarikh sabitan dengan keputusan petisyen rayuan pengampunan, mempunyai percanggahan ke atas peruntukan di bawah Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 April 1999, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ketiga-tiga mereka. Sebelum itu, rayuan mereka di Mahkamah Rayuan juga ditolak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum