Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Ganja bernilai RM300,000 dirampas di Rantau Panjang

PASIR MAS 22 Mei - Polis Kelantan menumpaskan cubaan menyeludup 126 ketulan mampat dipercayai ganja bernilai lebih RM300,000 dalam rampasan di Pangkalan Sega, Lubok Setol, Rantau Panjang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Jalil Talib berkata, dadah tersebut ditemui di dalam empat guni dan diletakkan di tepi sawah di kawasan tersebut.

Katanya, kira-kira pukul 10 pagi semalam tiga anggota tentera dari Batalion 302 Askar Wataniah, Kem Sungai Tumbi, Jeli, yang sedang meronda di kawasan itu terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

``Bagaimanapun, apabila dihampiri, mereka melarikan diri ke negara jiran (Thailand) dengan menaiki sebuah perahu,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Jalil berkata, polis percaya ganja itu diletakkan sementara di situ sebelum dipungut untuk diedarkan di luar Kelantan termasuk Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas guni-guni tersebut mendapati sejumlah 126 ketulan daun kering mampat disyaki dadah.

Katanya, dua lelaki yang disyaki terlibat yang melarikan diri ke negara jiran belum dapat dipastikan sama ada rakyat tempatan atau Thai.

Ekoran itu, Polis Kelantan telah meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Thailand untuk mengesan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Siasatan ke atas rampasan yang dianggap terbesar setakat ini akan dibuat mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957.

``Setiap satu ketulan mampat itu boleh digunakan oleh 1,000 penagih dan kejayaan menumpaskan cubaan menyeludup ini amat besar dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum