Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Fisherman's Friend bernilai RM2j dilarikan perompak

SHAH ALAM 21 Mei - Lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan besi paip, melarikan gula-gula herba Fisherman's Friend bernilai kira-kira RM2 juta dari sebuah gudang di Seksyen U1 Glenmarie di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Hussin Ismail memberitahu, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi apabila kumpulan lelaki terbabit menyerbu gudang berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan lelaki itu yang membawa sebuah lori dan sebuah kepala lori terlebih dahulu mengikat seorang pengawal keselamatan di gudang tersebut.

``Mereka juga menahan dan mengikat tiga pengawal keselamatan lain di gudang sebelah bagi mengelakkan kegiatan mereka dari dihalang,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum kumpulan lelaki itu memunggahkan gula-gula herba berjenama tersebut ke dalam lori, mereka juga bertindak memotong talian sistem penggera gudang yang disambungkan ke pusat kawalan.

``Mereka juga seolah-olah tahu terdapat kamera litar di gudang itu lalu mengalihkannya ke arah atas,'' katanya.

Menurut Hussin, kumpulan lelaki itu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk memunggah gula-gula herba berkenaan ke dalam lori.

``Selain memunggah dan melarikan gula-gula dengan lori yang dibawa, kumpulan terbabit turut melarikan sebuah kontena yang juga berisi gula-gula berkenaan,'' katanya.

Beliau menambah kontena itu dilarikan dengan menggunakan kepala lori tersebut.

Menjawab satu pertanyaan, Hussin tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan kerjasama orang dalam kerana kumpulan lelaki terbabit tahu mengenai sistem penggera gudang serta kamera litar yang ada.

Beliau berkata, polis kini masih menjalankan siasatan dan telah menyoal siasat beberapa pekerja gudang tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam 03- 55102222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh: AMIR SARIFUDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum