Make your own free website on Tripod.com
Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Kementerian Sumber Manusia jadi orang tengah pertikaian MTUC-KWSP

KUALA LUMPUR 30 April - Kementerian Sumber Manusia bersetuju menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sehubungan itu, menterinya, Datuk Dr. Fong Chan Onn yakin pertikaian antara MTUC dan KWSP dapat diselesaikan dengan adanya penglibatan kementerian.

Beliau berkata, kementerian akan cuba mencari beberapa pendekatan baru dalam usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara MTUC dan KWSP berhubung beberapa isu.

``Saya telahpun berjumpa KWSP pagi ini dan mereka telahpun berbincang dengan saya mengenai cadangan yang telah dikemukakan oleh MTUC. Tengah hari ini saya telah mendengar cadangan pihak MTUC yang telah dikemukakan kepada KWSP.

``Setelah mendengar pendapat mereka ini saya percaya dan yakin boleh berbuat sesuatu untuk menarik kedua-dua belah pihak menyelesaikan pertikaian ini,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan antara Kementerian Sumber Manusia dan MTUC di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak, Timbalannya, Mohamed Shafie B. P. Mammal dan Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran.

Pada Jumaat lalu, MTUC mengekalkan keputusan untuk berpiket di hadapan pejabat KWSP di seluruh negara selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Azlan Zainol kerana tiada penyelesaian konkrit dicapai.

MTUC mendakwa pihaknya terpaksa mengambil tindakan perusahaan itu berhubung enam isu yang menurut kongres tersebut dilaksanakan dengan membelakangkan kepentingan pencarum-pencarum.

Dr. Fong berkata, isu-isu yang menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak lebih menjurus kepada urusan pentadbiran KWSP seperti skim anuiti dan pemotongan caruman pekerja daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

``Saya yakin isu yang menjadi pertikaian ini akan dapat diselesaikan segera kerana ia hanya melibatkan urusan pentadbiran di dalam KWSP,'' katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu perjumpaan susulan akan diadakan pada 3 Mei ini dengan MTUC untuk berbincang isu yang sama.

Katanya, beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan KWSP sekali lagi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai segala isu yang menjadi pertikaian sebelum berjumpa dengan MTUC pada 3 Mei ini.

Beliau sekali lagi merayu kepada MTUC agar tidak mengadakan piket di hadapan bangunan KWSP seluruh negara pada 12 Mei ini.

``Tambahan pula pada tarikh itu kementerian saya akan mengadakan perhimpunan hari pekerja yang akan turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Buruh ASEAN, Jepun, China dan Korea Selatan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum