Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Skim anuiti KWSP digantung serta-merta

KUALA LUMPUR 10 Mei - KWSP hari ini mengumumkan penggantungan sementara pelaksanaan skim anuiti anjuran kumpulan itu berkuat kuasa serta merta.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar berkata, penggantungan itu akan berjalan sehingga selesai kajian perunding mengenai skim anuiti itu untuk Lembaga KWSP memutuskannya nanti.

``Sekiranya masih terdapat permohonan baru diterima semasa tempoh penggantungan ini, KWSP hanya akan mendaftarkan permohonan tersebut tetapi tidak akan memprosesnya,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Affendi berkata, KWSP juga sedang mengkaji semula bayaran bantuan hilang keupayaan dan kematian serta akan meneliti beberapa cadangan pilihan bagi membaiki kuantum bayaran berkenaan.

``Hasil kajian itu akan dibincangkan di mesyuarat Lembaga KWSP akan datang dan sekiranya dipersetujui, tarikh kuat kuasanya akan dikebelakangkan kepada 1 Julai 2000 lalu,'' katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menyelesaikan tiga isu berkaitan KWSP termasuk menangguhkan pelaksanaan skim insurans anuiti dan menimbangkan faedah hilang upaya untuk dikembalikan.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan memantau segala perkembangan yang berlaku dalam KWSP sepanjang tempoh penangguhan piket tiga bulan tersebut.

Presidennya, Senator Zainal Rampak berkata, tempoh masa berkenaan diberi untuk memberi peluang kepada KWSP mengkaji semula tiga isu pertikaian yang menjadi tuntutan utama MTUC.

``Penangguhan tiga bulan ini juga akan memberi banyak masa kepada KWSP dan kita berharap ada perkembangan positif sepanjang tempoh itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum