Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

MTUC dakwa KWSP beri pinjaman kepada tokoh korporat

KUALA LUMPUR 21 Mei - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak hari ini mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memberi pinjaman kepada tokoh korporat tertentu untuk menyelamatkan syarikat mereka.

Menurut beliau, pinjaman tersebut dipercayai telah diluluskan setelah tokoh korporat berkenaan menjadikan saham syarikatmereka sebagai cagaran.

``Kita difahamkan juga ada beberapa tokoh korporat sedang menggunakan pendekatan yang sama untuk mendapatkan pinjaman daripada KWSP.

``Bagi kita ini tidak sepatutnya berlaku,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini.

Zainal yang juga Ahli Lembaga Pengarah KWSP mendakwa, langkah KWSP meluluskan pinjaman tersebut telah menyebabkan para pekerja merasa bimbang terhadap simpanan mereka selepas timbul pelbagai kontroversi sebelum ini.

Malah keraguan turut timbul katanya, memandangkan golongan korporat tersebut dikenal pasti sebagai kaya dan ada antaranya mempunyai simpanan sehingga RM1 bilion.

Sehubungan itu, tegas Zainal, MTUC akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat bagaimana pinjaman tersebut boleh diluluskan serta nilai wang yang terlibat.

``Saya akan membangkitkan isu ini dalam pertemuan MTUC dengan KWSP pada 24 Mei ini supaya satu penjelasan dapat diberikan bagaimana pinjaman itu boleh diluluskan,'' tambah beliau.

Sementara itu, ketika bercakap pada majlis makan malam MTUC Perak sempena Hari Pekerja di Ipoh malam tadi, Zainal mendakwa mempunyai maklumat mengenai identiti ahli-ahli korporat terlibat.

``Saya tahu ada orang korporat yang menggunakan duit KWSP bagi menyelamatkan syarikat-syarikat mereka. Saya tidak akan minta maaf daripada golongan ini.

``Ada di antara mereka yang mempunyai duit sendiri berjumlah RM1 bilion, kenapa tidak gunakan 10 peratus daripada aset peribadi itu untuk menyelamatkan syarikat mereka, kenapa harus pinjam duit dari KWSP,'' katanya.

Zainal memberitahu, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tanpa menyebut identiti mereka yang terlibat.

``Dalam suratnya (Dr. Mahathir) kepada MTUC, Perdana Menteri menulis dengan sejelas-jelasnya bahawa duit KWSP tidak boleh digunakan sama sekali untuk menyelamatkan syarikat korporat yang tenat,'' ujarnya.

Zainal berkata, KWSP perlu lebih telus, bertanggungjawab dan mengamalkan pentadbiran yang baik dalam mengendalikan simpanan wang pekerja-pekerja.

Menurut beliau, apabila MTUC merancang piket besar-besaran, ia bukan bererti pihaknya menentang kerajaan tetapi untuk menunjukkan bahawa kaum pekerja tidak suka wang KWSP disalahgunakan.

Beliau memberitahu, MTUC akan menjemput pakar-pakar ekonomi tempatan untuk menganggotai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mencari penyelesaian kepada masalah membabitkan KWSP.

``Kami belum memilih anggota jawatankuasa ini, tetapi kajian yang akan dijalankan itu memakan masa kira-kira tiga bulan untuk diselesaikan.

``Kita akan berusaha mengkaji cara-cara pelaburan KWSP supaya kaum pekerja kelak akan mendapat pulangan dividen yang lebih baik, sekurang-kurangnya lapan peratus setiap tahun,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum