Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Isu skim anuiti antara dibincang dipertemuan MTUC-KWSP

KUALA LUMPUR 21 Mei - Isu penangguhan skim anuiti dan cadangan skim alternatif bagi menggantikan skim itu adalah antara perkara yang akan dibincangkan di dalam pertemuan antara Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 24 Mei ini.

Menurut Timbalan Presiden MTUC, Mohamed Shafie B.P Mammal, perbincangan akan berkisar kepada cadangan supaya skim itu dikendalikan secara dalaman oleh KWSP dan MTUC.

``Cara ini dilihat akan memberi banyak kelebihan kepada pencarum,'' katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya KWSP tidak mempunyai kepakaran, mereka boleh membuat kerja sama dengan MTUC atau agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran di dalam bidang itu.

Menurut Mohamed Shafie, walau apa cara pun skim itu mesti dilaksanakan secara dalaman tanpa melibatkan golongan luar yang dilihat lebih kepada untuk mengaut keuntungan.

``Langkah ini juga akan mengurangkan jumlah pengaliran drastik wang pencarum ke agensi luar daripada kesatuan mereka,'' katanya.

Tambahnya, cara itu juga tidak memberi tekanan kepada pencarum, mereka akan mempunyai lebih masa sebelum membuat keputusan.

Beliau berpendapat, langkah itu lebih cermat dan tertib tanpa perlu tergesa-gesa memohon seperti amalan sebelum ini.

Menurutnya, di dalam pertemuan itu MTUC akan menekankan bahawa sebarang tindakan melibatkan orang ramai yang dibuat KWSP, perlu kajian terperinci dan perbincangan dengan semua pihak dengan mengambil kira kebaikan dan keburukannya.

``Tindakan ini penting bagi memulihkan kembali kepercayaan orang ramai terhadap KWSP,''katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum