Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

KWSP nafi dakwaan MTUC

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa badan itu telah memberi pinjaman kepada tokoh-tokoh korporat tertentu untuk menyelamatkan syarikat mereka.

Pengurus Perhubungan Awam KWSP, Nik Effendi Nik Jaafar berkata, badan itu tidak memberi pinjaman kepada orang perseorangan, sebaliknya hanya membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat tertentu berdasarkan prosedur yang diperuntukkan dalam Seksyen 26 Akta KWSP 1991.

Seksyen tersebut, menurut beliau, antara lain menyatakan KWSP boleh melabur secara pinjaman dalam sesuatu syarikat atau melalui pembelian saham dalam syarikat yang diluluskan oleh Lembaga KWSP.

``Kita tidak beri pinjaman kepada tokoh korporat kerana pelaburan yang dibuat adalah berdasarkan seksyen 26 Akta KWSP 1991,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak yang mendakwa KWSP telah memberi pinjaman kepada tokoh korporat tertentu untuk menyelamatkan syarikat mereka.

Menurut Zainal, pinjaman tersebut dipercayai telah diluluskan setelah tokoh korporat berkenaan menjadikan saham syarikat mereka sebagai cagaran dan beliau mempunyai maklumat mengenai identiti ahli korporat terbabit.

Ditanya mengenai dakwaan Zainal bahawa beliau mempunyai bukti mengenainya, Nik Effendi berkata: ``Itu awak kena tanya dia.''

Menurutnya, KWSP menjalankan kajian terperinci dan sentiasa berhati-hati sebelum membuat sesuatu pelaburan dalam mana-mana syarikat.

Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah KWSP, Mohamed Shafie BP Mammal berkata, KWSP tidak boleh memberi pinjaman kepada pihak persendirian kerana dana yang terkumpul dalam badan itu adalah milik para pencarum.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MTUC berkata, sepanjang pengetahuannya, KWSP hanya boleh memberikan pinjaman kepada syarikat-syarikat multinasional, bukannya orang perseorangan.

Menurutnya, pemberian pinjaman kepada pihak persendirian seperti tokoh-tokoh korporat bukan merupakan amalan biasa dalam pengurusan KWSP.

``Wang itu adalah duit orang ramai dan KWSP tidak boleh beri pinjam kepada pihak persendirian melainkan kepada syarikat yang ada kepentingan bersama,'' katanya.

Menurut Shafie, KWSP perlu memberi penjelasan mengenai perkara tersebut kerana ia kini telah diketahui umum berikutan pendedahan Zainal itu.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar, orang ramai tentunya merasa kecewa kerana wang mereka telah diberikan kepada individu tertentu untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abd. Rahman Manan meminta Kementerian Kewangan menyiasat dakwaan Zainal itu.

``CUEPACS berpendapat wang yang dicarum oleh pekerja dalam KWSP mestilah diurus dengan bijak dan teratur, tidak boleh dikeluarkan untuk membantu individu korporat tertentu,'' katanya.

Oleh: ROSNI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum