Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

4.8 juta penyata KWSP sudah dihantar kepada pencarum

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah selesai menghantar penyata kira-kira bagi tahun 2000 kepada 4,767,868 orang pencarumnya.

Pengurus Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan di sini, hari ini memberitahu, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya sebulan dalam tahun berkenaan akan menerima penyata itu.

``Bagaimanapun, mereka yang tidak membuat sebarang caruman dalam tempoh itu boleh mendapatkan penyata masing-masing dengan menulis atau datang sendiri ke pejabat KWSP berhampiran dengan membawa kad pengenalan,'' katanya.

Bagi menjaga keselamatan simpanan pencarum, permohonan oleh ahli untuk mengetahui caruman terkini melalui telefon tidak dibenarkan, sebaliknya penyata itu dihantar terus kepada ahli menerusi alamat kediaman atau majikan bergantung kepada rekod KWSP.

Sehubungan itu, Nik Affendi menasihatkan ahli supaya menyemak dengan majikan masing-masing atau berhubung terus kepada pejabat KWSP berhampiran bagi memastikan caruman bulanan dibayar ke dalam akaun mereka dengan teratur setiap bulan.

Beliau turut menggesa pencarum menyemak penyata dan jika terdapat butir-butir yang tidak teratur mereka diminta menghubungi majikan sebaliknya jika masih tidak berpuas hati, mereka boleh berhubung segera ke pejabat KWSP berhampiran.

``Pencarum hendaklah membawa bersama segala butiran diri termasuk nombor akaun KWSP atau dokumen-dokumen rujukan lain yang boleh membuktikan hubungan majikan dengan pencarum berkenaan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum