Make your own free website on Tripod.com
Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

MTUC tolak cadangan wujud skim khas

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak cadangan diwujudkan satu skim khas seiring dengan Skim Anuiti kerana ia bertentangan dengan matlamat MTUC yang mahu skim itu diurus sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak berkata, MTUC sejak awal lagi telah menyatakan pendirian tidak bersetuju Skim Anuiti diswastakan kepada syarikat insurans kerana ia akan merugikan pencarum.

``Ini pendirian kita dan ia telah dinyatakan sejak dahulu lagi. Skim Anuiti harus dilaksanakan oleh KWSP. Tiada pilihan,'' katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama perunding yang dilantik oleh KWSP bagi menilai semula keberkesanan pelaksanaan skim itu di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah perwakilan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk N. Siva Subramaniam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) supaya diwujudkan satu skim lain seiring dengan Skim Anuiti sedia ada bagi memberi pilihan kepada pencarum.

Presidennya, Prof. Dr. Hamdan Adnan berkata, pihaknya yakin isu itu boleh diselesaikan segera sekiranya orang ramai diberi kebebasan membuat pilihan sendiri sama ada ingin menyertai Skim Anuiti atau pun sebaliknya.

Menurut Zainal, MTUC membantah pelantikan syarikat insurans kerana ia tidak membawa keuntungan dan kebaikan kepada pembeli skim ini.

Selain itu, katanya, karenah agen-agen insurans yang sanggup mengenepikan etika bagi memastikan polisi berjaya dijual, satu lagi faktor yang mendorong MTUC menentang penggunaan syarikat insurans.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum