Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Kumpulan selamatkan Skim Anuiti merayu kepada PM

PUTRAJAYA 29 Mei - Pasukan Petugas Khas Menyelamatkan Skim Anuiti hari ini mengemukakan memorandum rayuan kepada Perdana Menteri meminta supaya kerajaan meneruskan skim itu demi kebaikan semua pihak.

Tiga orang wakil pasukan itu yang diketuai Pengerusinya, Gunaraj George menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Setiausaha Sulit, Perdana Menteri, Alias Bakar di Pejabat Perdana Menteri di sini petang ini.

Menurut Gunaraj, memorandum yang ditandatangani oleh 100,000 pencarum dan pemegang polisi itu mahu kerajaan meneruskan Skim Anuiti kerana ia menjamin pendapatan tetap selepas bersara.

``Kita akan menanti maklum balas daripada Perdana Menteri dan berharap beliau sedia mempertimbangkan agar Skim Anuiti dapat berjalan semula,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan memorandum itu.

Turut hadir pada majlis itu, 16 orang anggota jawatankuasa tersebut bagi menunjukkan tanda sokongan usaha penghantaran memorandum berkenaan.

Gunaraj berkata, skim itu tidak wajar ditangguh semata-mata kerana mendapat bantahan keras dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Ini kerana, jelasnya, MTUC hanya mewakili 10 peratus ahlinya dari sejumlah lima juta pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyertaan dalam skim itu adalah berdasarkan pilihan pencarum.

Beliau turut mempertikaikan alasan-alasan yang diberikan Presiden MTUC, Zainal Rampak yang dianggap tidak tepat.

``Ejen pemasaran Skim Anuiti didakwa mengaut keuntungan berlebihan sedangkan mereka hanya mendapat dua peratus dari jumlah caruman,'' katanya.

Sebaliknya, beliau mengalu-alukan saranan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Dr. Hamdan Adnan agar skim itu diteruskan dan dalam masa yang sama KWSP mengendalikan Skim Anuitinya sendiri.

Mengulas lanjut Gunaraj berkata, kempen kesedaran terhadap kebaikan Skim Anuiti akan diteruskan di seluruh negara.

Tambah beliau, pertemuan dengan pihak KWSP telah diusahakan bagi membincangkan lebih lanjut berhubung skim itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum