Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Keamanan negara tentukan kejayaan RRJP3

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kejayaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bergantung kepada keamanan dan kestabilan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan dapat melaksanakan segala yang dirancang jika tidak wujud lagi suasana yang meyakinkan pelabur.

Pelaburan tidak akan masuk dan negara lain tidak akan berdagang dengan Malaysia, katanya semasa membentangkan RRJP3 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjelaskan antara matlamat RRJP3 ialah mencapai matlamat negara untuk mewujudkan sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, yang kompetitif dan inovatif.

Katanya, jika keamanan negara sering digugat ekoran adanya kekacauan, pergaduhan dan pembunuhan yang membawa kepada keadaan huru-hara, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dan rakyat akan kehilangan segala nikmat yang boleh diperoleh menerusi pembangunan.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu rakyat menghadapi kekacauan seperti yang dialami oleh negara-negara serantau kerana keadaan sebegitu akan membawa kepada kemusnahan ekonomi.

Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin menggugat keadaan yang ada pada hari ini.

``Mana-mana pihak yang mencetuskan rusuhan dan pemberontakan akan dianggap sebagai musuh pembangunan negara.

``Tanpa keamanan, kestabilan dan ketenteraman, segala usaha pembangunan kerajaan menerusi RRJP3 akan hancur dan ini akan secara langsung menafikan kesejahteraan untuk rakyat,'' jelasnya.

Menurut Abdullah, kedudukan Malaysia hari ini sebagai negara dunia ketiga yang telah berjaya membawa pembangunan kepada semua lapisan masyarakat, dapat dicapai kerana wujudnya keamanan di dalam negara.

Dalam usaha ini katanya, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini mempertahankan keamanan negara.

Katanya, tanpa sumbangan yang telah diberi oleh pasukan-pasukan keselamatan, keadaan di negara ini tidak akan dapat memungkinkan pembangunan yang telah dicapai.

``Kerajaan percaya ATM dan PDRM akan terus berkhidmat dengan setia dan teguh mempertahan keamanan Malaysia daripada musuh-musuh serta ancaman dari luar dan dalam negara,'' ujarnya.

Abdullah berkata, Dasar Wawasan Negara merupakan visi jangka panjang kerajaan untuk membawa Malaysia ke matlamat Wawasan 2020 iaitu satu rancangan komprehensif yang melibatkan semua sektor ekonomi negara.

``Insya-Allah dengan pelaksanaan Dasar Wawasan Negara melalui Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan, ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh, berdaya saing dan memberi peluang yang saksama kepada rakyat,'' katanya.

Menurutnya lagi, hasrat kerajaan ialah untuk membawa pembangunan kepada semua lapisan masyarakat dan tidak mahu mana-mana golongan terpinggir dari arus perdana pembangunan.

``Kerajaan juga tidak mahu mewujudkan masyarakat yang hanya ingin mengejar kejayaan material dan kerana itu, pembangunan ekonomi yang terkandung dalam RRJP3 mesti disertai dengan penerapan nilai-nilai murni yang membawa kepada pembangunan insan yang syumul,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum