Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

MTUC sedia henti piket jika KWSP terima cadangan

KUALA LUMPUR 30 April - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sedia hentikan piket yang dijadual berlangsung 12 Mei ini jika semua cadangan kongres itu diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak berkata, jika KWSP masih berkeras dengan keputusan mereka menolak cadangan tersebut, pihaknya akan tetap meneruskan piket tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad berhubung hasratnya untuk berpiket hanya akan diketahui pada pertemuan susulan antara MTUC dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn pada 3 Mei ini.

``Antara cadangan yang perlu diambil perhatian serius oleh KWSP ialah menghentikan serta-merta langkah menjadi penyelamat kepada syarikat gergasi yang mengalami kerugian kerana ia memberi kesan kepada keuntungan bagi KWSP. ``Begitu juga dengan isu potongan dua peratus caruman pekerja serta mengenai skim anuiti,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan antara MTUC dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn di sini, hari ini.

Jumaat lalu, MTUC mengekalkan keputusan untuk berpiket di hadapan pejabat KWSP di seluruh negara selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Azlan Zainol kerana tiada penyelesaian konkrit dicapai.

MTUC mendakwa pihaknya terpaksa mengambil tindakan perusahaan itu berhubung enam isu yang menurut kongres dilaksanakan dengan membelakangkan kepentingan pencarum.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, langkah KWSP menyelamatkan syarikat yang mengalami kerugian tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang digunakan itu ialah duit pekerja.

Begitu juga, katanya, pembelian saham oleh KWSP terhadap syarikat yang tidak berpotensi untuk membuat keuntungan. Duit KWSP adalah duit pekerja. Syarikat ini umpama pokok nak mati. Mengapa kita perlu siram air bubuh baja kepada pokok yang hendak mati. Kita tanam pokok baru yang boleh hidup subur,'' katanya.

Mengenai potongan caruman pekerja daripada 11 peratus ke sembilan peratus, Zainal berkata, sepatutnya pekerja yang mahu caruman dikurangkan perlu mengisi borang dan bukan yang ingin mengekalkan caruman 11 peratus.

``Datuk Dr. Fong Chan Onn bersetuju mengambil tindakan mengenai perkara ini serta semua cadangan MTUC kepada KWSP,'' katanya.

Beliau menggesa KWSP memberi tumpuan kepada urusan tertangguh melibatkan pencarum seperti pengeluaran wang selepas umur 55 tahun, pengeluaran pembelian rumah, pembelian komputer dan pengeluaran bagi kakitangan kerajaan yang mengambil skim pencen.

``Benda-benda ini sepatutnya diutamakan. Oleh itu, saya berpendapat pelaksanaan skim anuiti perlu ditangguh dan selesaikan semua permohonan tertangguh melibatkan pencarum,'' katanya lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum