Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Harga murah punca orang ramai beli bahan cetak rompak


USAHA menangani penjualan VCD dan CD cetak rompak di setiap pelusuk negara memerlukan sokongan padu semua pihak.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Para pengguna menganggap antara punca orang ramai membeli bahan cetak rompak sama ada dalam bentuk kaset, cakera padat (CD) atau cakera padat video (VCD) kerana ia lebih murah berbanding dengan produk asli.

Bagi mereka, tidak semua orang mampu mengeluarkan RM40 untuk mendapatkan sekeping CD penyanyi pujaan mereka.

Pelajar sebuah politeknik di Johor Bahru, Faradila Md. Zain, 19, berkata, harga album yang terlalu tinggi menyukarkan orang ramai mendapatkan produk asli.

``Bayangkan kita boleh mendapatkan empat album cetak rompak berbanding dengan satu sahaja yang asli dengan bayaran RM40,'' katanya.

Bagaimanapun bagi Faradila, beliau tetap memilih album asli berbanding yang dihasilkan secara cetak rompak kerana percayakan kualitinya yang lebih baik.

Rakannya, Shafiza Ismail, 19, berpendapat kedua-dua pihak, pengeluar produk dan pembeli perlu memainkan peranan dalam membanteras kegiatan cetak rompak.

Katanya, pengguna perlu memahami hasrat kerajaan membanteras kegiatan itu dan menyokong usaha terbabit dengan menggunakan produk asli.

``Pihak pengeluar pula perlu memikirkan kebajikan pengguna di mana tidak semua dari kita ini mampu berbelanja besar untuk mendapatkan sesuatu produk,'' katanya.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Hillcrest, Gombak, Dini Rosli, 17, menyifatkan kesedaran pengguna amat perlu jika kegiatan cetak rompak ingin dihapuskan.

``Permintaan terhadap produk tiruan itu meningkat selama mana pengguna membeli bahan berkenaan, maka tidak hairan kegiatan cetak rompak akan terus berkembang di negara ini,'' katanya.

Menurutnya, orang ramai harus sedar bahawa merekalah yang bertanggungjawab jika produk tiruan itu memenuhi rak-rak jualan di merata tempat kerana mereka yang meminta bahan-bahan tidak asli itu dipasarkan.

Norhidayat, 17, pula sanggup menyimpan wang simpanannya bagi mendapatkan album asli seseorang penyanyi yang diminati olehnya kerana percayakan kualiti produk tulen.

``Saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit membeli album asli kerana berpuas hati dengan produk berkenaan.

``Selalu terjadi apabila seseorang membeli yang cetak rompak, tidak terdapat lirik pada kulit album berkenaan, bunyinya kurang memuaskan dan ia juga tidak tahan lama,'' kata pelajar ini.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suridah Suffian, 22, tidak menyalahkan orang ramai jika produk cetak rompak lebih mendapat perhatian mereka.

``Tentulah orang ramai akan memilih barang yang lebih murah jika diberi pilihan, dan dalam hal ini sebagai contohnya, pengguna hanya membayar kira-kira RM10 bagi sekeping CD tiruan, manakala yang original lebih kurang RM40,'' katanya

Sofi Ismail, 22, pula meminta pihak pengeluar seperti syarikat rakaman menurunkan harga produk mereka bagi menarik minat pembeli mendapatkan album asli.

Katanya lagi, masyarakat hari ini juga lebih suka mendengar album penyanyi luar negara jika dibandingkan dengan artis tempatan kerana muzik mereka lebih bagus dan universal.

``Sehubungan itu artis tempatan perlu melakukan sesuatu terhadap muzik mereka sebelum peminat terus menganggap lebih baik mereka mendapatkan album cetak rompak nyanyian mereka kerana tidak berbaloi berbelanja lebih untuk membeli produk yang kurang bermutu,'' katanya.

Beliau berkata, sesetengah artis tempatan seperti Siti Nurhaliza dan Kumpulan XPDC mampu bertahan dan mendapat sambutan peminat kerana mereka tampil dengan album berkualiti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum