Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

VCD haram dijual dari rumah ke rumah pula

KUALA LUMPUR 21 Mei - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan bahawa penjual-penjual cakera padat video (VCD) cetak rompak kini menggunakan taktik bergerak dari rumah ke rumah ataupun pejabat ke pejabat bagi mencari pelanggan produk mereka.

Oleh itu, Presidennya, Prof. Hamdan Adnan berkata, agak sukar penjual VCD dan CD tulen bersaing di pasaran kerana pembeli perlu pergi ke premis untuk mendapatkannya.

``Justeru, pembeli mengambil jalan mudah membeli VCD atau CD yang dijual di premis-premis seperti ini,'' katanya.

Kerajaan, kata beliau, menggunakan wang rakyat untuk melindungi hak cipta karyawan sedangkan rakyat terus membeli barangan cetak rompak.

Paling menyedihkan, katanya, syarikat besar terus mencatat keuntungan walaupun gejala cetak rompak berleluasa kerana barangan ini terus diminati.

FOMCA katanya, akan membantu sedaya yang boleh bagi menggalakkan pengguna membeli barangan asli dan pada masa yang sama akan memberi tumpuan kepada masalah pengguna di luar bandar yang sering menjadi mangsa kepada kenaikan harga barangan.

Tambah beliau, tiga faktor utama dikenal pasti sebagai pendorong meningkatnya gejala cetak rompak di negara ini iaitu keuntungan yang diperoleh terlalu besar, kecenderungan kepada dunia hiburan yang melampau dan strategi pemasaran yang berkesan.

Beliau menjelaskan bahawa keuntungan yang terlalu besar yang diperoleh oleh pengilang bahan cetak rompak menyebabkan mereka tidak menghiraukan ancaman pihak berkuasa.

``Oleh kerana tamak dan terlalu banyak untung, mereka tidak takut dikenakan tindakan,'' katanya.

Beliau berkata, sikap masyarakat negara ini terutama golongan muda yang `gila' dengan dunia hiburan juga menjadi pendorong kepada lambakan bahan hiburan dan untuk menampung permintaan, bahan cetak rompak dikeluarkan.

Oleh kerana keperluan memenuhi selera untuk berhibur terlalu tinggi, bahan cetak rompak menjadi pilihan mereka kerana ia murah dan mudah diperoleh, tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa pengguna perlu dididik supaya menghargai karya asli dan ia sebagai satu cara mengurangkan masalah ini.

Beliau juga berkata, pengguna di negara ini bagaimanapun tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan jenis itu dengan cara yang murah melainkan membeli barangan cetak rompak.

``Selagi harga produk tulen masih mahal, pengguna akan tetap mendapatkan barangan cetak rompak.

``Di negara Barat mereka boleh membeli barangan asli dengan harga yang lebih tinggi berbanding barangan cetak rompak kerana kuasa membeli mereka tinggi,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum