Make your own free website on Tripod.com
Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 12 Jun 2001

Hilang upaya: MTUC - KWSP capai persetujuan awal

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencapai persetujuan awal untuk mengubah formula bayaran faedah hilang upaya berdasarkan tempoh kerja seseorang pencarum.

Kedua-dua badan itu telah mencapai persetujuan untuk mengubah formula semasa iaitu bayaran tetap RM2,000 yang dikuatkuasakan sejak 1 Julai lalu, pada pertemuan tiga penjuru dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran berkata, pihaknya mengemukakan pandangan bahawa adalah wajar dan adil sekiranya seseorang pencarum yang mengalami situasi hilang upaya dibayar wang sagu hati mengikut tempoh dia bekerja.

``Seseorang pencarum muda yang hilang upaya mempunyai tempoh hayat lebih lama, malah dalam suasana tertentu dia mempunyai tanggungan berat untuk disara.

``Jika dia diberi bayaran tetap hanya RM2,000, ia tidak akan banyak membantu pencarum (pekerja) berkenaan.

``Oleh itu kami berpendapat adalah wajar diberi bayaran mengikut formula tempoh dia bekerja dan umurnya, meskipun pada awalnya KWSP berpegang kepada formula yang digunakan sejak Julai lalu itu,'' kata beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pertemuan antara MTUC, KWSP dan Chan pada Jumaat lalu hanya khusus membincangkan isu formula bayaran elaun hilang upaya. Ia merupakan pertemuan pertama melibatkan Timbalan Menteri Kewangan itu sejak isu MTUC-KWSP timbul sejak awal tahun ini.

Pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menyelesaikan tiga isu berkaitan KWSP termasuk menangguhkan pelaksanaan skim insurans anuiti dan menimbangkan supaya faedah hilang upaya dikembalikan.

Bayaran elaun hilang upaya merupakan salah satu daripada enam isu yang dibangkitkan oleh memorandum bantahan kepada pengurusan KWSP.

MTUC mahu kerajaan melaksanakan semula faedah asal kematian dan hilang upaya iaitu minimum RM1,000 dan maksimum RM30,000 bergantung pada tahun caruman seseorang pekerja kepada KWSP.

Bagaimanapun, berdasarkan pindaan tahun lalu, KWSP hanya membayar purata RM2,000 kepada pencarum yang terbabit.

Rajasekaran yang menyifatkan pertemuan tersebut sebagai titik tolak menggembirakan dalam menyelesaikan isu berkenaan menambah, Chan turut bersetuju dengan pandangan MTUC berkenaan dan memberi jaminan ia akan diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah KWSP yang mula dijangka diadakan pertengahan bulan ini, Rajasekaran berkata, kemungkinan besar ia berlangsung bulan depan.

``Kemungkinan besar ia tidak akan diadakan bulan ini kerana anggota lembaga pengarah untuk penggal baru belum dilantik.

``Tempoh penggal semasa telah pun berakhir pada 31 Mei lalu,'' katanya.

Rajasekaran juga berkata, MTUC telah mencalonkan semula wakil-wakilnya dalam KWSP termasuk Presidennya, Senator Zainal Rampak.

Mesyuarat Lembaga Pengarah KWSP akan datang dilihat penting kerana ia akan membincangkan kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh MTUC termasuk Skim Anuiti.

Oleh: G. MANIMARAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum