Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 15 Jun 2001

KWSP mahu saman MTUC -- Menuduh tiga pegawai ditaja oleh syarikat insurans ke luar negara

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung tuduhan bahawa tiga pegawai tertinggi KWSP ditaja oleh syarikat insurans untuk lawatan ke luar negara.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, pihaknya perlu mengambil tindakan yang sewajarnya kerana dakwaan MTUC itu adalah tidak benar sama sekali.

``Oleh itu, kita menimbang kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap MTUC,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ini adalah kali pertama KWSP mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran sebelum ini menuduh Persatuan Insurans Nyawa Malaysia (LIAM) dan syarikat insurans menaja tiga pegawai tertinggi KWSP untuk lawatan sambil belajar di beberapa negara Eropah bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan skim tersebut di negara berkenaan.

KWSP, tegas Abdul Halim, telah menyiasat dakwaan tersebut dan mendapati ia tidak benar.

``Setiap lawatan pegawai-pegawainya adalah dibiayai oleh KWSP sendiri, KWSP tidak pernah hantar pegawainya untuk mengkaji Skim Anuiti di luar negara, ini satu tuduhan yang serius,'' ujarnya.

Menurut Abdul Halim, walaupun MTUC sebelum ini telah mengemukakan laporan kepada KWSP berhubung dakwaan tersebut semalam, pihaknya belum berpuas hati kerana kesatuan itu tidak menyatakan nama pegawai yang terbabit.

Sehubungan itu, beliau meminta MTUC supaya mendedahkan nama pegawai yang berkenaan secepat mungkin.

Ditanya apakah KWSP memberi tempoh kepada MTUC untuk berbuat demikian katanya, ``Tidak ada tempoh, tetapi kita harap ia dikemukakan secepat mungkin.''

Menurut Abdul Halim, KWSP bertanggungjawab terhadap 10 juta ahlinya dan sehubungan itu, adalah penting setiap maklumat yang disebarkan kepada ahli adalah tepat bagi mengelakkan salah tanggapan.

``MTUC tidak seharusnya menggunakan KWSP sebagai landasan untuk perjuangannya.

``Salah tanggapan yang timbul boleh menyebabkan keresahan di kalangan ahli yang mana mengakibatkan mereka mempercayai bahawa KWSP tidak diurus dengan efektif,'' katanya.

MTUC yang turut mempunyai wakil dalam Lembaga KWSP jelas beliau, sepatutnya memainkan peranan yang lebih efektif dan bertanggungjawab dengan membuat kenyataan berdasarkan fakta yang tepat.

Beliau berkata, tuduhan MTUC bahawa beberapa tokoh korporat memohon pinjaman daripada KWSP untuk membantu menyelamatkan syarikat mereka yang bermasalah juga tidak benar.

Katanya, di bawah Akta KWSP 1991, badan itu tidak dibenarkan memberikan pinjaman kepada individu kerana KWSP perlu berhemah dalam pelaburannya dengan tidak memperjudikan simpanan persaraan ahlinya.

Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak sebelum ini mendakwa beberapa tokoh korporat yang mempunyai jumlah simpanan tunai yang besar dan aset bernilai berbilion ringgit telah meminta KWSP membantu menyelamatkan syarikat mereka yang bermasalah.

Selain itu, kata Abdul Halim, tuduhan Zainal bahawa KWSP lebih mengutamakan pemprosesan permohonan Skim Anuiti berbanding skim lain menyebabkan ia lewat memproses permohonan pengeluaran yang lain juga tidak benar.

Zainal sebelum ini turut mendakwa KWSP mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk memproses permohonan pengeluaran Caruman Persaraan dan Kesihatan.

Menurut Abdul Halim, sejak pelaksanaan skim tersebut pada Julai 2000, KWSP hanya dapat memproses sebanyak 230,000 daripada 345,000 permohonan yang diterima.

Jelasnya, tidak berlaku kelewatan dalam memproses permohonan di bawah skim tersebut sebagaimana dakwaan MTUC apabila pihaknya pada masa ini berjaya memproses 93 peratus permohonan pengeluaran dalam tempoh 10 hingga 14 hari dari tarikh ia diterima.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, dakwaan Zainal bahawa Skim Anuti adalah wajib untuk semua ahli KWSP juga tidak benar.

``Apabila skim ini diperkenalkan tahun lepas, pengurusan mencadangkan dan Lembaga meluluskan supaya Skim Anuiti diperkenalkan sebagai pilihan kepada ahli.

``Soal sama ada skim ini diwajibkan kepada semua ahli tidak pernah timbul atau dibincangkan dalam sebarang mesyuarat,'' jelasnya.

Beliau berkata, laporan bahawa kerajaan telah bersetuju memperkenalkan formula baru bagi bantuan kematian dan hilang upaya bagi menggantikan kadar bayaran tetap RM2,000 juga tidak benar.

Kerajaan jelas beliau, tidak pernah membuat keputusan sedemikian sebaliknya sekadar menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan formula baru itu.

G. Rajasekaran sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju mengembalikan semula bayaran bantuan kematian dan hilang upaya kepada bayaran asal iaitu sehingga RM30,000.

KWSP sebelum ini menetapkan kadar bayaran tetap sebanyak RM2,000.

Oleh: ROSNI HASSAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum