Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Perbincangan MTUC-KWSP positif piket mungkin dibatal

KUALA LUMPUR 3 Mei - Piket Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dijadualkan pada 12 Mei ini mungkin akan dibatalkan berikutan wujudnya perkembangan positif berhubung prosedur isu potongan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata, melalui perbincangan yang diadakan itu, MTUC bersetuju supaya pihak pencarum menentukan sendiri mengenai prosedur pemotongan caruman sebanyak sembilan atau 11 peratus.

``Hari ini kedua-dua (KWSP dan MTUC) pihak telah menemui konsensus mengenai sekurang-kurangnya satu daripada tiga isu utama yang dibincangkan iaitu mengenai prosedur potongan caruman KWSP,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan hampir dua jam dengan 12 ahli jawatankuasa kerja MTUC di pejabatnya di sini, hari ini.

Ditanya apakah ini bermakna piket tersebut akan dibatalkan, katanya, ``Terserah kepada MTUC menentukannya, tetapi kesediaan kita untuk berbincang menunjukkan kemungkinan isu ini akan diselesaikan... kita akan berusaha supaya kedua-dua pihak mencapai persefahaman.''

MTUC sebelum ini mengugut akan mengadakan piket kerana tidak berpuas hati dengan isu pemotongan wang caruman KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Presidennya, Senator Zainal Rampak mendakwa arahan kerajaan berhubung soal tersebut adalah tidak sah.

Mengulas lanjut, Fong berkata, dalam pertemuan tersebut kedua-dua pihak tidak membincangkan secara langsung mengenai piket sebaliknya lebih memfokuskan tentang perbezaan pendapat di antara KWSP dan MTUC mengenai beberapa isu.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan KWSP sebelum 12 Mei ini bagi membincangkan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh MTUC itu.

Fong berkata, tiga isu utama yang dibincangkan ialah mengenai jumlah potongan caruman, skim anuiti serta isu faedah bagi pencarum KWSP dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berkompromi mengenai perkara tersebut.

Katanya lagi, isu jumlah potongan telah dapat ditangani sebaik mungkin sementara bagi dua isu lagi beliau berharap satu formula yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak dapat dilaksanakan bagi menyelesaikannya.

``Jika kita dapat menyelesaikan isu-isu tersebut, saya percaya kita akan dapat menyelesaikan segalanya,'' jelas beliau.

Menurutnya, pada masa ini, ketiga-tiga isu itu merupakan isu utama yang akan dibincangkan terlebih dahulu sementara isu-isu lain akan dibincangkan kemudian kerana melibatkan pindaan peruntukan undang-undang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum