Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Kerajaan arah pemaju bina longkang tertutup

PUTRAJAYA 4 Mei - Kerajaan hari ini mengarahkan semua pemaju perumahan dan kontraktor bangunan melaksanakan serta-merta pembinaan longkang tertutup di bawah tanah bagi projek-projek baru sebagai langkah drastik menangani banjir kilat.

Kaedah baru yang termaktub di dalam manual saliran mesra alam itu akan menjadi syarat kelulusan pelan pembangunan melibatkan prasarana saliran di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, dengan adanya pendekatan baru itu, konsep saliran dan longkang terbuka tidak akan dilaksanakan lagi.

``Sebaliknya ia akan dibina di bawah tanah bagi mengelakkan sampah sarap dan sisa-sisa binaan terkumpul di dalamnya.

``Kawasan yang ada longkang secara terbuka biasanya menghadapi risiko berlakunya banjir kilat kerana ada di kalangan kita yang suka membuang sampah dalam longkang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik apabila berlaku hujan lebat,'' katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-49 di sini.

Mengulas lanjut Abdullah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada beberapa pihak tidak akan bersetuju dengan arahan tersebut kerana pembinaan longkang bawah tanah memerlukan kos yang tinggi.

``Namun, mereka perlu ingat kos persiapan untuk menghadapi banjir atau jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat akibat berlakunya banjir adalah lebih tinggi daripada pembinaan sistem longkang yang baru ini.

``Pembinaan longkang kaedah baru ini sebenarnya dapat menghapuskan kerugian-kerugian yang dialami oleh rakyat apabila berlakunya banjir,'' katanya lagi.

Keputusan drastik itu diambil ekoran kejadian banjir kilat luar biasa yang berlaku di Kuala Lumpur minggu lalu. Kejadian itu mengakibatkan beberapa kawasan utama di ibu negara ditenggelami air.

Sementara itu, Abdullah juga memberitahu kerajaan bersetuju dengan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meminda Akta Hiburan Wilayah Persekutuan berhubung dengan penambahan penalti pada setiap kesalahan yang bersabit dengan hiburan.

Menurut beliau, dalam rang undang-undang Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (Pindaan 2001) sesiapa yang berniaga tanpa lesen seseorang itu boleh didenda sehingga RM50,000.

``Sebelum ini dendanya tidak melebihi RM20,000. Begitu juga dengan meletak iklan hiburan tanpa lesen dendanya tidak melebihi RM50,000 berbanding sekarang tidak lebih RM10,000.

``Rang undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini,'' katanya lagi.

Antara perkara lain yang dipersetujui dalam mesyuarat selama tiga jam itu, menurut Abdullah, ialah untuk membenarkan Kementerian Kesihatan mengambil alih perkhidmatan kesihatan daripada 50 PBT yang mempunyai masalah untuk mengendalikannya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu wajar dilakukan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di sesuatu kawasan selain kerajaan boleh bertindak cepat jika berlaku sesuatu wabak penyakit.

``Kementerian Kesihatan terpaksa mengambil alih perkhidmatan tersebut kerana ada PBT tidak mampu mengendalikannya selain menghadapi masalah kewangan dan kekurangan kakitangan yang tidak terlatih,'' katanya.

Pada sidang akhbar itu juga, Abdullah memberitahu, kerajaan telah menetapkan bahawa kriteria bagi untuk menaik taraf Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya adalah bergantung kepada jumlah penduduk.

``Syaratnya ialah penduduk di dalam sesuatu kawasan PBT itu ialah 300,000 dan jumlah pendapatan tahunannya tidak kurang RM80 juta.

``Manakala Majlis Daerah yang mahu dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran hendaklah memastikan jumlah penduduknya tidak kurang 100,000 orang dan pendapatan tahunannya tidak kurang RM10 juta,'' katanya lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum