Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Pengurus ditukarkan ekoran Pos Laju lewat?

SEREMBAN 4 Mei - Pengurus Negeri Pos Malaysia Berhad, Din Hussin telah ditukarkan ke Pejabat Pos Kuantan berkuat kuasa 2 Mei lalu yang dipercayai ada kaitan dengan kelewatan pengiriman Pos Laju membabitkan borang permohonan ke universiti dua anak seorang pegawai polis Mac lalu.

Pertukaran itu dilihat begitu drastik sejurus perkara itu didedahkan oleh seorang bapa, Deputi Supritendan (DSP) Ibrahim Mohd. Aris dalam Utusan pada 25 April lalu yang mendakwa berlalu kelalaian di Pejabat Pos Rembau hingga melewatkan penghantaran borang berkenaan.

Turut menjadi tanda tanya ialah jawatan yang disandang oleh bekas Pengurus Pos Negeri Sembilan itu yang tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengurus Pos Negeri Pahang.

Dia sebaliknya menjadi Pengurus Bahagian Serahan sahaja.

Tempatnya diambil alih oleh seorang pegawai dari Ibu Pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur, Md. Zuki Zakaria yang sudah pun memulakan tugasnya di Negeri Sembilan.

Jurucakap Ibu Pejabat Pos Malaysia ketika dihubungi hari ini, bagaimanapun berkata, pertukaran Din ke Kuantan adalah proses biasa.

Malah, katanya, ia telah dirancang lebih awal sebelum isu itu dipaparkan dalam akhbar tempoh hari.

``Pertukarannya tidak ada kaitan dengan mana-mana isu semasa malah jawatan yang dipegangnya adalah sama taraf dengan pengurus pos negeri di Pahang dan bukannya satu tindakan menurun pangkatnya,'' ujar beliau.

Malah, katanya, Din yang sebelum ini berpangkat pengurus kanan semasa bertugas di Negeri Sembilan kekal dengan pangkat yang disandangnya apabila ditukarkan ke Pahang.

Pos Malaysia Negeri Sembilan sebelum ini mendapat perhatian umum apabila Ibrahim mendakwa Pejabat Pos Rembau lalai sehingga menyebabkan impian dua anak lelakinya untuk melanjutkan pendidikan ke universiti berkecai.

Ini kerana, katanya, surat permohonan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dihantar melalui Pos Laju pada 7 Mac lalu hanya sampai ke Jabatan Pendidikan Tinggi pada 29 Mac iaitu mengambil masa 22 hari.

Anaknya, Mohd. Haniff, 18, dan Mohd. Fazli, 19, yang mendapat 6A dan 4B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peperiksaan lalu telah menghantar borang permohonan itu sebelum tarikh tutup pada 12 Mac.

Polis Daerah Rembau pula sebelum ini ada menahan reman seorang kerani Pejabat Pos Rembau berhubung aduan Ibrahim itu dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Kerani lelaki yang berusia sekitar 40-an itu disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Berikutan itu, Pejabat Pos Rembau telah menggantung tugas seorang kakitangannya selama 14 hari mulai 30 April lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kelewatan pengiriman surat melalui Pos Laju.

Penolong Pengurus Besar Pos Laju, Mohd. Noor Sulaiman sebelum ini berkata, kerani terbabit tidak merekodkan semua kiriman Pos Laju sebaliknya disyaki menyimpan dua surat itu selama 20 hari dan mengambil wang RM9.46 yang dibayar oleh dua beradik itu.

Pihaknya juga mengesyaki penipuan yang dilakukan oleh kerani itu melibatkan lebih 12 surat.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum