Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

MTUC tetap teruskan piket 12 Mei

KUALA LUMPUR 4 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap akan meneruskan piket yang dijadualkan pada 12 Mei ini selepas beberapa rundingan dengan Kementerian Sumber Manusia setakat ini gagal memenuhi keputusan yang dikehendaki oleh pertubuhan itu.

Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak menegaskan, pihaknya tidak berpuas hati dengan hasil tiga kali rundingan yang diadakan dengan kementerian itu yang menjadi orang tengah dalam menangani masalah antara MTUC dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

``Kita menghargai usaha kementerian menjadi orang tengah tetapi kita masih tidak puas hati dengan hasil rundingan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Abdul Kadir di kementerian itu, hari ini.

MTUC pada 20 April lalu memutuskan untuk mengadakan piket di semua pejabat KWSP di seluruh negara pada 12 Mei ini selepas tidak berpuas hati dengan isu pemotongan wang caruman KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Zainal mendakwa arahan kerajaan berhubung soal itu sebagai tidak sah.

Selain itu, MTUC juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Skim Anuiti yang diuruskan oleh syarikat-syarikat insurans dan penurunan kadar bayaran dividen pencarum sejak beberapa tahun lalu.

Dijangka 50,000 ahli kesatuan itu akan mengambil bahagian dalam piket tersebut dan perhimpunan terbesar yang melibatkan 10,000 pekerja dijadualkan diadakan di hadapan ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata, MTUC mungkin membatalkan piketnya apabila pihak kesatuan itu bersetuju supaya pihak pencarum menentukan sendiri prosedur pemotongan caruman sebanyak sembilan atau 11 peratus.

Rundingan pertama antara pihak kementerian itu dengan MTUC diadakan pada Isnin lalu.

Zainal seterusnya memberitahu, pihaknya akan mengadakan bermesyuarat pada 9 Mei ini sebelum piket itu diadakan.

Bagaimanapun, katanya, MTUC masih sedia berunding dengan KWSP atau Kementerian Sumber Manusia bagi menyelesaikan tuntutannya itu.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan piket yang akan dianjurkan itu menyalahi undang-undang.

``Kesatuan lebih memahami undang-undang daripada orang lain,'' tegasnya sambil menambah piket yang bakal diadakan itu bukan berbentuk demonstrasi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum