Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

PM jamin selesai isu KWSP -- MTUC batalkan piket di seluruh negara Sabtu ini

SUBANG JAYA 9 Mei - Kerajaan hari ini memberi jaminan akan menyelesaikan tiga isu berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk menangguhkan pelaksanaan skim insurans anuiti dan menimbangkan supaya faedah hilang upaya dikembalikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika memberi jaminan itu turut bersetuju akan menentukan wang KWSP dikendalikan tanpa menimbulkan sebarang keraguan oleh mana-mana pihak.

Jaminan itu dibuat sejurus selepas pertemuan Dr. Mahathir dengan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak di bangunan Parlimen petang ini.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Zainal, Dr. Mahathir berkata, beliau bersetuju skim anuiti ditangguhkan sehingga kajian oleh perunding yang dilantik kelak selesai.

Ekoran jaminan tersebut, MTUC yang mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Am petang ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas jaminan yang diberikan itu.

``Kami mengucapkan terima kasih atas usaha Dr. Mahathir yang menunjukkan kesediaan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan termasuk skim anuiti dan faedah hilang upaya yang akan cuba diselesaikan segera,'' kata Zainal pada sidang akhbar di Wisma MTUC di sini.

Serentak itu, katanya, MTUC memutuskan untuk membatalkan keputusan berpiket di seluruh negara Sabtu ini kerana lima daripada enam isu utama yang dibangkitkan menemui jalan penyelesaian setakat ini.

``Keputusan untuk menangguh piket pada Sabtu ini telah mendapat persetujuan sebulat suara ahli gabungan MTUC kerana menerima jaminan daripada Perdana Menteri hari ini,'' kata beliau.

Umumnya, sebahagian besar daripada isu-isu yang dibangkitkan oleh MTUC hampir selesai, kata beliau.

``Oleh itu, keputusan MTUC ialah menangguhkan keputusan untuk mengadakan piket ini tiga bulan sehingga laporan pakar perunding mengenai isu ini disiapkan,'' katanya.

Pemimpin MTUC dijangka bertemu Dr. Mahathir pada 25 Jun ini.

Berdasarkan memorandum yang dikemukakan kepada KWSP bulan lalu, MTUC mahu KWSP sendiri yang menguruskan pelaksanaan skim anuiti, bukan syarikat insurans. Skim anuiti yang diperkenalkan 1 Julai lalu bertujuan memberi jaminan pendapatan bulanan seumur hidup seperti bayaran pencen kepada ahli KWSP.

MTUC juga mahu kerajaan melaksanakan semula faedah asal kematian dan hilang upaya iaitu minimum RM1,000 dan maksimum RM30,000 bergantung pada tahun caruman seseorang pekerja kepada KWSP.

Bagaimanapun, berdasarkan pindaan tahun lalu, KWSP hanya membayar purata RM2,000 kepada pencarum terbabit.

Isu-isu lain yang disenaraikan dalam memorandum tersebut ialah pembayaran dividen KWSP enam peratus tahun lepas iaitu yang paling rendah dalam masa 26 tahun.

Isu-isu lain ialah pembelian saham Time dotcom dan pengurusan pelaburan KWSP serta keengganan kerajaan mewajibkan panel pelaburan KWSP bertanggungjawab kepada lembaga kumpulan wang itu.

Satu lagi isu iaitu keputusan kerajaan membolehkan pekerja mengurangkan caruman dua peratus kepada KWSP. Bagaimanapun, isu itu selesai pada peringkat pertemuan MTUC dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn minggu lalu.

Sejak MTUC mengambil keputusan untuk berpiket pada 6 April lalu, tiga sesi pertemuan telah diadakan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung memorandum enam tuntutan yang dikemukakan.

Pada 27 April, kepimpinan kanan MTUC mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Azlan Mohd. Zainol dan dengan Fong pula pada 3 Mei lalu.

Dua hari kemudian MTUC menemui Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Abdul Kadir.

Zainal yang mengulas lanjut berkata, MTUC akan menghantar surat kepada pengurusan KWSP untuk bertemu jawatankuasa pakar perundingan yang terbabit dalam pelaksanaan skim anuiti.

``Kami harap dapat bertemu jawatankuasa itu minggu depan,'' katanya.

Zainal juga berkata, KWSP perlu menjadi lebih telus dalam memberi pinjaman kepada mana-mana pihak pada masa akan datang.

``Mana-mana individu yang mempunyai kepentingan tidak boleh dengan senang-senang menggunakan wang KWSP,'' katanya.

Oleh: G. MANIMARAN dan AMIRUDDIN AHMAD KAMAL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum