Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Kenyataan Izhar cuba takutkan pekerja - MTUC

SUBANG JAYA 9 Mei - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan kenyataan Ketua Pengarah, Kesatuan Sekerja Kementerian Sumber Manusia, Izhar Harun berhubung hak kongres itu sebagai sebuah kesatuan.

Presidennya, Senator Zainal Rampak berkata, kenyataan Izhar dianggap sebagai tindakan yang cuba menakut-nakutkan kaum pekerja daripada terus mendapatkan hak mereka.

``Pada saat-saat sebegini kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya dikeluarkan dan ia memperlihatkan beliau cuba menidakkan fungsi MTUC sebagai kesatuan yang memperjuangkan hak kaum pekerja,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar Majlis Am yang dihadiri oleh ahli-ahli gabungan kesatuan sekerja di Wisma MTUC, di sini, petang ini.

Semalam, Izhar dipetik sebagai berkata, MTUC tidak mempunyai hak sebagai sebuah kesatuan sekerja, termasuk berpiket mengikut takrif di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (APP 1967).

Beliau berkata, dari segi status, MTUC

adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar mengikut akta tersebut.

Mengulas hal ini, Zainal berkata, MTUC telah berfungsi sejak 1949 dan kewibawaannya sebagai kesatuan yang mewakili kaum pekerja di negara ini tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan.

Tambahnya, jika benar dakwaan Izhar itu, bagaimana MTUC boleh menjadi anggota lembaga dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

``Kami percaya fungsi MTUC terhadap kebajikan kaum pekerja tidak patut dipertikaikan kerana Kementerian Sumber Manusia sendiri mengiktiraf MTUC sebagai kesatuan yang mewakili pekerja,'' jelas Zainal.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum