Free Mailing List for Your Website!

KHAS

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Abdullah sambut baik MTUC batalkan piket

KUALA LUMPUR 10 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan menyambut baik tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membatalkan keputusannya untuk berpiket di seluruh negara Sabtu ini.

Beliau berkata, perkembangan tersebut menunjukkan kongres itu yakin dengan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membantu MTUC menyelesaikan masalah semasa yang dihadapi.

``Kita juga telah memberikan jaminan bahawa kita akan melihat semula apa jua isu atau masalah yang mereka ada (termasuk isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP),'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) Ke-15 di sini, hari ini.

Menurut Abdullah, beliau tidak tahu sama ada piket itu hanya ditangguhkan atau dibatalkan terus tetapi keputusan mengambil tindakan perhubungan perusahaan sebenarnya tidak akan mendatangkan keuntungan.

Semalam, Presiden MTUC, Senator Datuk Zainal Rampak mengumumkan penangguhan piket itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan akan menyelesaikan tiga isu berkaitan KWSP seperti yang dituntut oleh kongres itu.

Pada 6 April lalu, MTUC mengambil keputusan untuk berpiket di seluruh negara bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu-isu pengurusan dana KWSP dan pelaksanaan beberapa dasar baru oleh tabung pencen tersebut.

Zainal turut hadir pada majlis perasmian ALMM pagi ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah yakin hubungan berasaskan perundingan antara kerajaan dan kesatuan sekerja yang sedia ada di negara ini akan dipertingkatkan untuk Malaysia menghadapi cabaran sosioekonomi pada masa akan datang.

``Kita berharap hubungan berunding ini akan diperkukuhkan untuk mengelakkan sebarang bentuk tindakan sehala yang tidak perlu, yang boleh menjejaskan pengeluaran dan mewujudkan imej negatif di kalangan masyarakat kewangan antarabangsa,'' katanya.

Beliau juga berkata, pendekatan mengurangkan pertikaian perhubungan perusahaan perlu diberi penekanan untuk melahirkan kumpulan tenaga kerja berdaya saing.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, hubungan berbentuk berunding yang diamalkan oleh kerajaan dan pekerja telah memberi hasil ketika kegawatan ekonomi tiga tahun lalu.

``Kami sangat bernasib baik kerana pekerja-pekerja kami memberi sokongan penuh ke atas pendekatan-pendekatan yang diambil untuk mempertahankan ekonomi dari kesan kemelesetan ekonomi di rantau ini,'' kata beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum