KOLUMNIS

Utusan Malaysia 28 mac 2001

Bila perumahan tentera belum selesai...

WAKTU anda membaca kolum ini, penulis berada di Shanghai, sebuah kota raya legenda China yang sewaktu penulis dilahirkan pada tahun 1937, ia dianggap sebagai Paris Timur dan bandar raya hiburan termasyhur di sebelah timur Terusan Suez. Sejak penulis sudah boleh membaca, mata ini terbuka luas bukan kepada London tetapi ke arah Shanghai. Kenapa?

Waktu penulis kecil sebelum ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1948, keadaan kedai-kedai di Pulai Chondong dan Kok Lanas bukanlah seperti sekarang. Bilangan kedai yang sedikit itu diusahakan oleh orang Cina atau India Muslim (Mamak), maka takwim (kata orang Kok Lanas) kalendar yang digantung di dinding kedai ialah yang memaparkan pemandangan-pemandangan negeri asal mereka - Pelabuhan Shanghai, Hong Kong, permatang dan kalendar di kedai Mamak pula menunjukkan gambar Taj Mahal dan pemandangan lain yang memukaukan.

Ingatan tentang perkara ini tetap kekal dan penulis berpeluang melawat Shanghai, kali pertama musim bunga tahun 1974 mengiringi Tun Abdul Razak, dan telah beberapa kali ke India. Tetapi yang paling kerap penulis lawati ialah ke Hong Kong antara tiga tempat ini.

Ini jelas membuktikan apa yang terlihat pada awal hatta zaman bayi pun akan terpahat dalam hati buat selamanya. Anak sulung penulis gemarkan bidang penerbangan termasuk sains avionic iaitu sains elektronik yang diterapkan kepada bidang pesawat penerbangan. Ini kerana sejak dari kecil lagi, dia sering menghantar penulis menaiki penerbangan di lapangan terbang lama di Sungei Besi hingga ia minat dalam bidang ini sebagai hobi sungguhpun bidang pengajiannya ialah politik antarabangsa tetapi kemudian dia menjadi seorang banker!

Ingatan dan pengalaman pertama seperti juga alam sekitar dan corak masyarakat yang terdedah kepada bayi juga akan menguasai kegemaran, profesion, sikap dan sifat mereka. Ini bukan sahaja atas faktor keturunan atau genetik. Kalau tidak, masa bisa anak penoreh getah yang buta huruf dapat menjadi doktor, peguam, profesor, saintis dan berjaya memiliki dua tiga Ph.D?

Mengikut laporan media, kini ada hampir setengah juta bekas perajurit, ramai antaranya tinggal di kota-kota dan lazimnya menetap di kawasan setinggan. Bahkan berdasarkan maklumat orang ramai pula anggota tentera yang dalam perkhidmatan juga tinggal di pinggiran kota termasuk di kawasan-kawasan sesak yang tidak wajar dengan status mereka sebagai wira negara yang menjaga keselamatan tanah air hingga kita dapat tinggal dalam keadaan sentiasa aman, damai dan selesa. Begitulah halnya juga dengan bekas polis dan mereka yang masih berkhidmat.

Masakan kita tidak boleh mendirikan tempat kediaman yang cukup bagi angkatan anggota tentera dan polis. Kalau mendengar kenyataan menteri-menteri berkenaan seolah-olah semuanya beres tetapi sebenarnya tidak.

Pada tahun ini, ramai lagi akan tamat perkhidmatan dan mereka akan membanjiri peti-peti undi termasuk pengundi baru yang berjumlah 2.5 juta orang dalam pilihan raya umum kesebelas nanti. Pada lazimnya, ramai bekas anggota pasukan keselamatan terpengaruh dengan parti pembangkang. Ini kerana hanya yang tidak prihatin atau yang tutup telinga dan pejam mata sahaja yang tidak tahu.

Di Kok Lanas, ada satu garison tentera, Desa Pahlawan. Sebagai MP Kok Lanas dahulu, penulis mempunyai hubungan terdekat dengan pihak tentera tatkala kem itu dipimpin oleh Brigedier Jeneral Johan Hew, kerana penulis memberi perhatian khas kepada mereka.

Waktu itu ramai anggota tentera menyewa rumah yang tidak sempurna. Pada tahun 1990 (sungguhpun penulis dan seluruh calon UMNO Kelantan kalah) tetapi penulis megah kerana melalui Menteri Pertahanan waktu itu Tengku Ahmad Rithauddeen, perumahan yang baik telah dapat disediakan. Sebelum itu, penulis telah kerap kali bercakap dalam Parlimen agar anggota tentera dan polis dijagai sempurna mungkin semasa dan selepas mereka berkhidmat.

Semenjak penulis meninggalkan Parlimen, sudah tiga Menteri Pertahanan termasuk dua kali dipegang oleh penyandang sekarang (Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi jelas masalah perumahan bagi tentera belum juga selesai lagi. Penulis berharap (terlampau banyak pengaduan penulis terima tentang masalah ini) Menteri Pertahanan akan segera selesaikan masalah perumahan bagi tentera.

Walaupun hati senang, minda riang, fizikal (jasad) juga begitu di Shanghai, penulis tidak dapat elak daripada memikirkan pergolakan politik di tanah air dan memahami perasaan kekecewaan pada keseluruhan yang dialami oleh mereka yang telah banyak berjasa dan menggadai nyawa kepada watan, bangsa dan agama. Segeralah menteri berkenaan bertindak mengatasi apa pun masalah yang dihadapi oleh mereka yang masih menjawat jawatan dan yang telah bersara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi