KOLUMNIS

Utusan Malaysia 02 April 2001

Penilaian semula bahasa seni bina masjid

Oleh: M. TAJUDIN M. RASDI
SETIAP bangunan berkomunikasi dengan pengguna melalui suatu bahasa tersirat. Bahasa ini terhasil daripada tafsiran peribadi setiap pengguna terhadap gubahan bentuk, warna dan suasana sesuatu ruang dalam atau luar. Masjid perlu memberi beberapa mesej tertentu kepada pengguna.

Pertama masjid perlu memberi mesej kesederhanaan dalam Islam; kedua ia perlu memberi mesej 'jemputan' kepada semua Muslim dan bukan Muslim untuk masuk ke pekarangannya dan ketiga ia perlu menggunakan bahasa seni bina yang vernakular pada tempatnya.

Mesej kesederhanaan dalam Islam ialah suatu mesej pokok. Rasulullah s.a.w ialah orang yang amat sederhana sifatnya dan kehidupannya. Baginda mempunyai harta benda dan pakaian serta bekalan hidup yang sekadar mencukupi sahaja. Agak sukar untuk membayangkan bagaimana baginda akan mempersetujui banyak pembinaan masjid yang boros dan keterlaluan. Masjid perlu dibina sekadar pengguna kenal bangunan berkenaan ialah sebuah masjid. Umpamanya kalau satu menara sudah cukup untuk memberi mesej ini, tiada perlu lagi menara lain.

Justifikasi bahawa Islam juga cinta kepada estetika atau kecantikan tidak boleh dipakai kerana kecantikan adalah sesuatu yang agak subjektif. Umpamanya Menara Eifel di Perancis telah dikutuk habis-habisan kerana dikatakan sesuatu yang hodoh dan tidak berseni tetapi kini ia menjadi lambang kemegahan teknologi dan estetika Perancis.

Penggunaan hiasan masjid melalui ukiran kaligrafi atau bentuk geometri perlu dikawal. Jika kaligrafi tulisan ayat al-Quran digunakan, biarlah ia terletak di tempat yang boleh umat membacanya dan bukannya tinggi di kubah yang hanya dapat dilihat dan dibaca oleh si pencuci kubah sahaja.

Penggunaan gerbang perlu diolah agar ia tidak keterlaluan mendukung imej sebuah `istana'. Penggunaan bahan dinding perlu mengambil kira kesan cuaca dan penjagaan yang paling minimum. Pada asasnya biarlah segala keputusan penggubahan masjid menekankan aspek utiliti terlebih dahulu berbanding kecantikan. Bangunan yang tercantik ialah bangunan yang digubah supaya menyentuh jiwa melalui pandangan dan pengetahuan bahawa setiap bahagian memainkan peranan utiliti. Sebatang pokok yang kelihatan cantik dan menjadi subjek kepada banyak pelukis mempunyai bahagian-bahagian yang bukan untuk estetika semata-mata.

Masjid perlu memancarkan mesej jemputan dan bukan menghalang. Reka bentuk pagar dan permukaan bangunan perlu diolah agar orang yang lalu lalang di luar pekarangan masjid nampak aktiviti di pekarangan dan di dalam bangunan. Manusia biasanya tertarik dengan aktiviti manusia lain. Jika mereka tidak nampak manusia lain, mereka akan berkunjung ke sesuatu tempat itu.

Kemudahan-kemudahan masjid seperti kedai dan kafeteria perlu didedahkan bagi menarik minat pengguna. Kemudahan awam lain seperti bangku, alat permainan dan wakaf perlu didedahkan agar kesemuanya dapat dimanfaatkan oleh mereka yang lalu di hadapan atau di sebelah masjid.

Pagar dan pintu pagar masjid disediakan agar tiada binatang seperti anjing masuk ke pekarangan. Kedua-duanya perlu direka bentuk agar tidak menghalang pengguna untuk masuk ke dalam pekarangan masjid. Umpamanya pintu pagar yang lebih rendah daripada ketinggian orang dewasa dan mempunyai bilangan bukaan yang banyak adalah lebih sopan ekspresinya berbanding pintu pagar yang lebih tinggi.

Pintunya pula boleh tertutup sendiri setelah pengguna masuk. Ruang dan alatan kemudahan awam perlu boleh dilihat dari pintu pagar untuk menyatakan kepada pengguna supaya mereka dijemput masuk dengan cara membuka pintu pagar. Aspek reka bentuk pagar dan pintunya perlu diberi perhatian khusus kerana ini akan menjadi elemen sama ada penghalang atau penyambut tetamu.

Perkara ketiga yang perlu dibincangkan adalah mengenai gaya rupa masjid. Pada masa kini masyarakat Malaysia terlalu ghairah membina masjid bergaya rupa masjid Timur Tengah. Mengapa perlu berbuat demikian? Pembinaan kubah, menara yang banyak dan gerbang serta ornamen yang menelan belanja besar, tidak banyak manfaatnya kepada umat Islam. Lagipun kesemua bangunan ini nampak seperti suatu penjara, kota atau istana yang memberi mesej halangan berbanding mesej jemputan.

Bangunan bergaya rupa ini juga memberi mesej bahawa seolah-olah agama Islam terbaik adalah dari Timur Tengah dan kita di Malaysia tidak akan dapat mencapai tahap keimanan umat Islam seperti mereka yang fasih berbahasa Arab. Mesej ini adalah suatu 'sikap merendah diri umat Islam di Malaysia. Kebaikan sesuatu umat tidak bergantung kepada kefahaman bahasa Arab ataupun warisan sejarah Islam yang gilang gemilang.

Kebaikan Islam bergantung terus kepada kefahaman Islam dan amalan menyeluruh budaya Islam. Ramai penggerak Islam mengatakan bahawa Malaysia mempunyai suasana politik yang amat baik bagi perkembangan Islam. Sistem perundangannya yang berjaya menyatu padu semua kaum yang berlainan agama di bawah pemimpin atasan Islam menjadi sesuatu yang membanggakan.

Model sistem politik sebegini tidak terdapat di negara Timur Tengah yang mempunyai peratusan umat Islam yang amat tinggi atau dalam sejarah negara-negara tersebut.

Elemen seperti kubah dan gerbang biasanya dikaitkan dengan imej Islam. Mengapa? Sebab para sejarawan seni bina Barat mengatakan demikian!

Saya mempunyai pandangan yang berbeza. Sistem kubah dan gerbang bukan sistem yang 'unik' pada Islam. Kedua-duanya ialah sistem rentangan yang perlu bagi bahan seperti batu dan lumpur. Di Malaysia kita banyak mempunyai kayu-kayan maka tiada perlu kita kepada gerbang dan kubah kerana sistem alang dan tiang sudah memadai.

Kita harus prihatin tentang bahasa seni bina masjid kerana ia melambangkan nilai Islam. Adakah kita hendak memaparkan nilai keangkuhan, regresif, kolot, tidak berjiwa setempat dan keborosan atau seperti Masjid Negara yang memaparkan suatu nilai dinamik, progresif, berjiwa setempat, tidak membazir dan rendah diri. Tidak semestinya sesuatu yang termahal itu mendatangkan manfaat tetapi sesuatu yang jujur sentiasa diterima baik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi