KOLUMNIS

Utusan Malaysia 06 April 2001

Antara cita-cita dengan pencapaian RRJP3

Oleh: ABDULLAH AHMAD
RANGKA Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang kini sedang dibahas di Parlimen adalah kesinambungan rancangan-rancangan terdahulu yang matlamatnya mahu membawa Malaysia ke satu era di mana pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik lebih seimbang.

Selama tiga dekad, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sungguhpun telah melahirkan ramai Melayu Baru, menambahkan bilangan profesional, korporat dan ekuiti Melayu dan kekayaan hanya dapat mengumpul dan menguasai hanya 19.1 peratus daripada kekayaan negara. Waktu kita merdeka 43 tahun dahulu kedudukan bangsa kita lebih buruk daripada keadaan bangsa India waktu itu dan sekarang.

Di bawah RRJP3 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) rakyat semua bangsa mendapat perhatian kerajaan maka terpulanglah kepada setiap bangsa merebut peluang mencari kesejahteraan hidup. Teras kemajuan dalam dekad pertama abad 21 ini ialah k-ekonomi atau ekonomi yang berasaskan pengetahuan, satu ekonomi yang akan menentukan sama ada sebuah negara dan bangsa itu boleh maju dalam era kehebatan menguji daya tahan dan berdaya saing. Disengajakan kedua budaya ini juga adalah teras kepada usaha kerajaan meningkatkan lagi martabat Malaysia dan bangsa majoriti.

Tumpuan adalah kepada matlamat untuk menghapuskan saki-baki kemiskinan yang masih wujud di beberapa tempat, di sebilangan wilayah tertentu: di kalangan bumiputera di pedalaman di Sabah dan Sarawak, dan juga di Semenanjung.

Orang India, sungguhpun orang nombor dua terkaya di Malaysia ialah T. Ananda Krishnan, ramai yang daif.

Hartanya di Malaysia, mengikut ifMalaysian Businessnf, berjumlah RM10.7 bilion mengatasi Tan Sri Lim Goh Tong (Genting Highlands) (RM9.6 bilion). Pertama ialah Robert Kuok (RM15 bilion). Tiga orang Malaysia ini mempunyai harta RM35.3 bilion - lebih banyak dari seluruh penyumbang Lembaga Urusan dan Tabung Haji dan beberapa amanah saham dan amanah kerajaan dan swasta.

Daripada 20 orang terkaya di Malaysia yakni rakyat, bukan orang asing, hanya empat Melayu dan tiada seorang pun hartanya melebihi RM1 bilion! Tan Sri Rashid Hussein (RM891 juta), Tan Sri Azman Hashim (RM542 juta) dan Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir (Sapura) (RM365.6 juta). Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, tiada diberi jumlah tetapi dikata amat kaya-raya.

Mereka harus menjadi teladan dan contoh bagi anak Malaysia. Kesemuanya adalah keturunan orang biasa: Azman Hashim budak Kampung Baru, anak guru sekolah Melayu, Shamsuddin anak pemandu seorang Inggeris - kedua mereka cerdik dan pintar semasa di sekolah dan Azman belajar di Australia ilmu akauntan dan Shamsuddin kejuruteraan di United Kingdom. Krishnan, anak seorang pegawai kerajaan dari Brickfields, dan Lim Goh Tong juga daripada keluarga biasa tetapi Kuok adalah keturunan Foochow kelas menengah dan Kuok pintar semasa sekolah lagi. Lim Goh Tong pintar dan graduan universiti kehidupan.

Tanpa bumiputera meningkatkan keinsafan, kesungguhan daya saing dan tekun belajar dan berkorban, jangan terperanjat kalau pencapaian kita tidak bertambah dalam era k-ekonomi dan globalisasi.

Kerajaan telah menyediakan satu rancangan dan wawasan yang hebat - objektifnya terbaik tetapi sama ada matlamat ini dapat direalisasikan terus menjadi tanda tanya.

Orang India bersama bumiputera terus terpinggir tetapi ini tidak pula bermakna tiada orang Cina yang miskin. Jumlah mereka ramai dan mereka juga harus mendapat pembelaan sewajarnya.

Masa depan Malaysia, masa ke muka perhubungan antarabangsa, suku dan wilayah akan bergantung besar kepada kejayaan RRJP3 dan wawasan negara. Andainya kadar kemiskinan tiada dapat diturunkan lagi dan pembahagian kuasa, ekonomi dan kekayaan tidak seimbang agak sukar bagi kita melahirkan satu rupa bangsa Malaysia dan kita akan terus terancam.

Kita wajib insaf segera kalau tidak negara dan bangsa sekali gus agama kita juga akan terpinggir dalam desa dunia. Marilah kita mengejar ilmu agar kita lebih produktif dan bijak mengurus tanah air.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi