2 free romance novels from eHarlequin.com!

KOLUMNIS

Utusan Malaysia 21 April 2001

Jangan biarkan `Pontianak' ganggu kita

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR
SUDAH jelas dan nyata kini, Pontianak yang terletak di Kalimantan Barat bukan lagi tempat yang selamat untuk rakyat Malaysia.

Langkah Wisma Putra memindahkan 12 rakyat Malaysia dari wilayah itu, Khamis lalu sudah jelas membuktikan apa yang dibimbangkan selama ini akan menjadi kenyataan.

Walaupun punca pemindahan itu tidak dinyatakan secara terbuka, namun mereka yang mengetahui situasi di wilayah itu amat memahami bahawa segalanya tidak lari daripada ancaman yang dibuat oleh sesetengah kelompok ke atas nyawa rakyat Malaysia di situ.

Kita tidak peduli apakah punca ancaman itu dibuat tetapi tindakan mengancam nyawa orang lain semata-mata untuk memenuhi tuntutan peribadi atau kelompok adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama rakyat Malaysia sama ada yang bertugas di Konsul Malaysia atau datang ke Pontianak diancam, ia sudah acap kali berlaku.

Malah dalam sesetengah kes, rakyat Malaysia dipaksa untuk membayar wang tebusan tetapi semua ini tidak didedahkan kepada media demi menjaga hubungan dua hala.

Kini rakyat Malaysia sekali lagi terancam, setelah pada Ogos tahun lalu mereka juga menerima ancaman yang sama. Kita sememangnya amat menghargai kepantasan Wisma Putra bertindak dalam menyelamatkan rakyat kita keluar dari wilayah berkenaan.

Tetapi persoalannya sampai bilakah kita harus membiarkan peristiwa seumpama itu berterusan? Bak kata orang kesabaran itu ada hadnya, justeru itu masanya sudah tiba untuk Kementerian Luar memikirkan semula apakah perlu pejabat Konsul Malaysia terus ditempatkan di Pontianak.

Selama ini, Malaysia merupakan negara tunggal yang begitu baik hati membuka pejabat konsul di bandar berkenaan dengan harapan ia akan memudahkan rakyat Indonesia di wilayah Kalimantan berurusan terutama dalam memohon visa bagi membolehkan sebahagian besar daripada mereka mencari nafkah di negara kita.

Namun kebaikan Malaysia itu tidak diperhitungkan oleh pihak-pihak tertentu di wilayah tersebut termasuk ahli politiknya.

Malah sejak Ogos lalu, Konsul Malaysia di Pontianak lebih sibuk melayani ancaman daripada pihak-pihak tertentu di bandar berkenaan daripada menguruskan permohonan visa.

Justeru, dalam menghadapi situasi terbaru tersebut, Kementerian Luar harus memikirkan atau menimbang dengan serius untuk menutup sahaja pejabat konsul kita di bandar berkenaan.

Mungkin cadangan seperti ini akan dianggap keterlaluan dan dianggap tidak memahami persoalan diplomatik serta kepentingan dua hala.

Tetapi persoalannya, kepentingan dua hala yang bagaimana harus kita pelihara? Apakah selama ini kebaikan yang kita lakukan di Pontianak itu benar-benar dihargai?

Kalau benar kita dihargai, sudah tentu pihak keselamatan di wilayah berkenaan akan memberi jaminan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di sana.

Dan lebih daripada itu, kita tidak perlu bersusah payah pada malam hari mengerahkan pegawai-pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mendapat kebenaran untuk membolehkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masuk ke Pontianak untuk memindahkan rakyat kita yang diancam.

Semua ini berlaku kerana tidak ada jaminan untuk keselamatan rakyat kita, oleh itu pilihan yang kita ada ialah memindahkan mereka dari bandar yang dianggap sudah tidak selamat itu.

Dalam soal keselamatan ini, kita sudah berkali-kali diberi jaminan daripada pihak berkuasa Indonesia terutamanya di Pontianak berhubung soal keselamatan pejabat konsul atau rakyat kita di bandar itu.

Tetapi kesudahannya apa yang berlaku? Bagaimana dengan peristiwa berbelas kereta rakyat negara kita dan peristiwa bas Malaysia ditahan serta pelbagai lagi peristiwa yang dianggap mengancam rakyat Malaysia?

Ternyata sekali, semua jaminan yang diberikan kepada Malaysia berhubung peristiwa di Pontianak itu hanyalah janji air liur sahaja.

Ia ternyata tidak membawa apa-apa erti kepada sebahagian rakyat Malaysia di bandar itu yang boleh dianggap sejak Ogos lalu sentiasa sahaja hidup dalam kebimbangan. Berdasarkan hakikat itu, penutupan pejabat Konsul Malaysia di Pontianak boleh dianggap pilihan terbaik yang kita ada setakat ini.

Mungkin sepertimana kata Wisma Putra, pejabat konsul berkenaan yang kini ditutup sementara akan beroperasi semula apabila suasana sudah tenang, tetapi siapa pula yang boleh memberi jaminan bahawa ancaman seumpama itu tidak akan berulang lagi?

Dalam soal ini sudah tiba masanya Kementerian Luar memikirkan dengan semasak-masaknya apakah kebaikan yang kita lakukan kepada penduduk di Pontianak itu perlu diteruskan?

Kita memahami bahawa setiap kali berlaku sesuatu peristiwa, Kementerian Luar Indonesia akan berusaha memberi jaminan bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berulang dan keselamatan rakyat kita terjamin.

Tetapi sejauh manakah, hasrat murni Kementerian Luar Indonesia itu dituruti oleh pihak-pihak berkuasa di peringkat wilayah?

Sebenarnya terdapat banyak lagi peristiwa yang menunjukkan bahawa pihak berkuasa di Pontianak tidak bersungguh-sungguh dalam menunaikan janji mereka.

Malah dalam kes tertentu yang melibatkan rakyat Malaysia, Utusan difahamkan, mereka secara terang-terang mengamalkan sikap berat sebelah.

Mungkin seperti suatu ketika dahulu, apa yang diperkatakan di sini akan dianggap boleh mengancam keselamatan rakyat Malaysia atau menyusahkan pegawai kanan kedutaan kita yang ditugaskan ke wilayah itu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Namun kita harus kembali berfikir, sampai bilakah kita harus bersabar sedangkan dari semasa ke semasa, rakyat Malaysia yang menunaikan tugas di tempat terpencil seperti Pontianak itu sentiasa hidup dalam kegelisahan dan kebimbangan.

Oleh itu, mahu tidak mahu, Malaysia harus melakukan sesuatu langkah yang dianggap bukan lagi sebagai isyarat tetapi ketegasan kita iaitu menutup sahaja pejabat konsul kita di bandar berkenaan.

Mungkin juga Kementerian Luar bimbang untuk membuat tindakan sedemikian kerana ia akan menyinggung perasaan pemerintah Indonesia.

Tetapi apakah selama ini, rakyat Indonesia atau pihak-pihak tertentu di Pontianak pernah memikirkan soal ini, apakah tidak cukup dengan penghinaan yang mereka lakukan apabila ada kelompok yang diupah menyerang pejabat konsul kita ketika rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos tahun lalu.

Sebenarnya, kita sudah muak melihat pelbagai peristiwa yang mengancam rakyat Malaysia di wilayah Kalimantan. Sebelum ini kita juga sering mendengar keluhan daripada syarikat-syarikat Malaysia di wilayah itu yang seolah-olah terpaksa menjadi `badan kebajikan' walaupun hakikat mereka ke situ untuk melakukan pelaburan yang sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia.

Jika mereka tidak memenuhi tuntutan yang bukan-bukan daripada penduduk di tempat mereka beroperasi, mereka akan menerima ancaman, sudah ada pejabat syarikat Malaysia diserang dan ada pula yang diancam akan `ditawan' ladangnya oleh penduduk setempat.

Sama ada hendak diakui atau tidak, selama ini kita terlalu berlembut dengan Indonesia terutama dalam isu yang berlaku di Kalimantan.

Demi kepentingan dua hala, kita sering sahaja bersikap lemah-lembut dan cuba menyelesaikan apa juga masalah melalui mekanisme yang telah ditetapkan antara kedua-dua negara.

Tetapi malangnya semua ini tidak mendatangkan kebaikan kepada Malaysia. Rakyat kita terus diancam di sesetengah wilayah di Indonesia.

Justeru, Kementerian Luar harus memikirkan dengan serius mengenai kedudukan pejabat Konsul Malaysia di Pontianak.

Ini kerana kita tidak boleh selamanya membiarkan rakyat Malaysia di bandar itu terus hidup dalam ketakutan sepertimana kata seorang diplomat, ``jangan biarkan `Pontianak' terus mengganggu kita''. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi